Penganjuran MAHA diteruskan sebagai platform utama perkukuh ekosistem agromakanan negara – Mohamad

Oleh: Sholina Osman
17 JAN 2026

Kementerian Pertanian dan
Keterjaminan Makanan (KPKM) akan terus menganjurkan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) sebagai platform utama untuk memperkukuh ekosistem agromakanan negara secara menyeluruh.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata penganjuran MAHA 2026 akan berfungsi sebagai pentas
nasional dan antarabangsa bagi mempamerkan inovasi, rantaian nilai dan peluang pelaburan sektor pertanian.

Beliau berkata sekaligus ia mengangkat sektor ini sebagai pemacu kedaulatan makanan dan pertumbuhan ekonomi.

SEBAGAI PENEGASAN KOMITMEN

“Penganjuran ini telah
dimulakan dengan majlis pelancaran awal (soft launch) pada 3 Disember 2025, yang bertemakan “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan
Makanan”, sebagai penegasan komitmen Kerajaan terhadap pembangunan sektor yang mampan, berdaya saing dan bernilai tinggi,” kata Mohamad.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 bertempat di Dewan Serbaguna Wisma Tani, Putrajaya, yang bertemakan “Memperkukuh Kedaulatan Makanan, Membina Daya Tahan Negara”, bagi memberi penekanan terhadap usaha Kementerian dalam memperkukuh kedaulatan makanan sebagai asas utama dalam membina daya tahan nasional.

Selain itu, Mohamad turut menyatakan empat tumpuan utama KPKM bagi tahun 2026.

PADI DAN BERAS

Beliau berkata antaranya meningkatkan pengeluaran padi dan beras negara secara mampan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import serta memperkukuh keterjaminan bekalan makanan.

Di samping itu kata beliau memastikan kecukupan bekalan daging lembu dan kerbau sebagai sumber protein utama rakyat dengan penyasaran peningkatan pengeluaran daging lembu dan kerbau kepada sekitar 50,000 tan metrik dan peningkatan Kadar Sara Diri (SSR) kepada 18 peratus.

“Mengurangkan pembaziran makanan sebanyak lima peratus serta peningkatan produktiviti hasil melalui pemerkasaan Pusat Agrohub sebanyak sepuluh peratus,” tambah beliau.

MERANGKUMI SEMUA SUBSEKTOR

Mohamad berkata melaksanakan pendekatan 3M – Membina, Menaik Taraf dan Menyelenggara merangkumi semua subsektor termasuk padi, tanaman, ternakan dan perikanan.

Dalam menghadapi cabaran sektor pertanian dan agromakanan negara, beliau menyeru semua pihak bergerak secara lebih strategik, berasaskan data dan berpaksikan kepentingan negara, agar setiap keputusan memberi impak yang nyata kepada pengeluar dan pengguna. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *