SARAWAK ENERGY HARGAI PERANAN MEDIA, PERKUKUH AGENDA PERALIHAN TENAGA MAMPAN

KUCHING, 17 Jan – Sarawak Energy menzahirkan penghargaan kepada rakan-rakan media atas peranan penting mereka dalam menyampaikan maklumat yang adil, tepat dan bertanggungjawab berkaitan sektor tenaga serta pembangunan Sarawak kepada masyarakat.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sarawak Energy, Dato Ir. James Ung berkata, kerjasama erat dengan media amat penting dalam membantu orang ramai memahami isu-isu kompleks melibatkan keselamatan tenaga, kelestarian dan perancangan pembangunan jangka panjang negeri.

“Sebagai utiliti tenaga utama Sarawak, sebahagian besar operasi kami berlaku di belakang tabir. Justeru, pelaporan yang jelas dan bertanggungjawab amat penting bagi memastikan masyarakat memahami cabaran serta keputusan strategik yang kami laksanakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan Media Sarawak Energy di sini, malam tadi.

Menurut beliau, Sarawak Energy komited menyokong aspirasi Kerajaan Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS 2030) dan Pelan Induk Peralihan Tenaga Sarawak (SETP), dengan sasaran membangunkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui sehingga 10 gigawatt menjelang 2030 dan 15 gigawatt menjelang 2035.

Beliau berkata, Sarawak Energy telah berjaya mentransformasikan portfolio penjanaannya daripada bahan api fosil kepada tenaga boleh diperbaharui, khususnya hidroelektrik, sejak awal 1980an bermula dengan Empangan Batang Ai.

Dalam aspek infrastruktur, Dato Ir. James berkata, pengukuhan sistem transmisi kekal menjadi keutamaan bagi meningkatkan kebolehpercayaan bekalan tenaga, termasuk pentauliahan Talian Transmisi 275kV Lawas pada Disember 2025 yang berjaya menghubungkan Lawas ke grid utama Sarawak.

Sarawak Energy juga terus memperkukuh pengalaman pelanggan melalui digitalisasi, termasuk aplikasi SEB Care yang kini mencatat lebih 380,000 pengguna aktif, serta pemasangan lebih 196,000 meter pintar di seluruh negeri setakat ini.

Di peringkat serantau, Sarawak Energy memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi Sarawak sebagai Bateri ASEAN, termasuk hubungan tenaga dengan Kalimantan yang bermula sejak 2016 serta kelulusan bersyarat oleh Singapura pada Oktober 2025 untuk mengimport sehingga satu gigawatt tenaga boleh diperbaharui dari Sarawak.

Wartawan/Foto: FIRDAUS

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *