






Oleh: Sholina Osman
18 JAN. 2026
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita 3,545 keping logam emas pelbagai bentuk yang dianggarkan
bernilai RM82,725.00 pada Operasi Khas Ops Tulen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Kenyataan media KPDN memaklumkan Bahagian Penguat Kuasa telah melaksanakan operasi ini dengan melibatkan enam pegawai penguat kuasa dan dijalankan ke atas
sebuah premis perniagaan di Pusat Perniagaan Kuchai Lama.
Pemeriksaan mendapati premis berkenaan menjual produk logam berharga iaitu emas melalui saluran media sosial.
Hasil kajian menggunakan peralatan X-Ray Fluorescence (XRF) ke atas
produk syiling emas yang dibeli oleh pegawai KPDN mendapati bahawa
kandungan emas sebenar adalah lebih rendah berbanding tahap ketulenan yang dicop pada kepingan tersebut iaitu AU 999.9.
PURATA KANDUNGAN EMAS
Walau bagaimanapun, bacaan purata kandungan emas yang diperoleh hanyalah sekitar 77 peratus yang jelas tidak selaras dengan ketulenan yang diiklankan.
Pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan merupakan pembekal
kepada peruncit yang menjual produk emas tersebut di media sosial dan
produk yang dipamerkan di premis ini adalah sama seperti yang diiklankan
secara dalam talian.
Hasil ujian ke atas emas yang disita daripada premis ini menunjukkan kandungan emas yang berbeza-beza iaitu antara 80 peratus hingga 98 peratus bagi setiap kepingan seberat 0.01 gram.
PREMIS TERSEBUT DISYAKI
Sehubungan itu, premis tersebut disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5(1)(a) Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] berhubung pelanggaran standard ketulenan barang yang diperbuat daripada logam berharga.
Selain menyita 3,545 keping logam emas pelbagai bentuk yang ditandakan dengan standard ketulenan, juga beserta beberapa peralatan dan dokumen berkaitan bagi tujuan siasatan lanjut.
Anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM82,725.00.
Tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama di bawah Seksyen 5(1)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730].
BOLEH DIAMBIL TINDAKAN
Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta 730 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda seperti berikut:
Individu: Denda tidak melebihi RM250,000.00 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan kedua atau kesalahan berikutnya denda tidak melebihi
RM500,000.00 atau penjara
selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya
BAGI KESALAHAN PERTAMA
Syarikat: Denda tidak melebihi RM500,000.00 bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM1,000,000.00 bagi kesalahan kedua atau kesalahan berikutnya.
KPDN menegaskan bahawa Kementerian akan terus mempergiatkan penguatkuasaan bagi membanteras amalan perniagaan yang mengelirukan dan menipu pengguna khususnya dalam penjualan barangan logam berharga.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan menyalurkan maklumat atau aduan kepada pihak KPDN bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara. – JM
