PELABURAN TIDAK WUJUD ‘NAVIS WEALTH’: WANITA TEMPATAN RUGI HAMPIR RM340,000

KUCHING, 18 Jan – Tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan akhirnya bertukar menjadi mimpi ngeri buat seorang wanita tempatan berusia 40 tahun apabila dia mengalami kerugian sebanyak RM339,486 selepas terjerat dengan penipuan pelaburan saham tidak wujud secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata mangsa terlibat dalam skim penipuan pelaburan yang dikenali sebagai ‘Navis Wealth’.

Menurut beliau dalam satu kenyataan media, kejadian bermula pada 3 Disember lalu ketika mangsa berada di rumah dan tertarik dengan satu iklan pelaburan saham yang ditemui di laman sosial Facebook.

Mangsa kemudiannya menerima satu pautan untuk memuat turun aplikasi melalui laman web www.naviscapital.co sebelum dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp yang berkaitan dengan pelaburan tersebut.

“Terpedaya dengan tawaran keuntungan yang lumayan, mangsa telah membuat 22 transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke dalam tiga akaun bank syarikat berbeza secara berperingkat,” katanya.

Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan pelaburan seperti yang dipaparkan dalam aplikasi ‘Navis Wealth’.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan memperdaya mangsa sehingga mendorong penyerahan harta, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan, serta denda jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat serta membuat semakan terlebih dahulu sebelum melabur
Wartawan: DEBBIE AMANDA
Foto: PDRM SARAWAK

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *