


19 Jan 2026
Terengganu #Chukai: Pantai Teluk Kalong yang tercemar dengan tumpahan kira-kira 7,000 tan metrik arang batu daripada sebuah tongkang yang hanyut dan pecah di pantai itu minggu lepas akan dibersihkan dalam tempoh terdekat.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu Hamzah Mohamad berkata wakil syarikat tongkang yang mengangkut bahan bakar itu telah bersetuju untuk membersihkan pantai berkenaan.
“Setakat ini dimaklumkan syarikat tersebut sedang dalam proses pemilihan kontraktor untuk melakukan kerja-kerja pembersihan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perjumpaan bersama pihak bertanggungjawab kes tongkang pecah di Pantai Teluk Kalong hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris.
📸Syafiq Ambak | BERNAMA
