TYT SARAWAK TERIMA KUNJUNGAN HORMAT PESURUHJAYA TINGGI SINGAPURA

KUCHING, 19 Januari –Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi pagi ini menerima kunjungan hormat delegasi Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon di kediaman rasmi di Petra Jaya.

Hadir sama, Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri Malaysia, Dato Fenny Nuli.

Dalam pertemuan yang berlangsung lebih satu jam tersebut, Tun Pehin Sri Dr. Wan dan Vanu Gopala Menon membincangkan pelbagai perkara strategik melibatkan kerjasama serantau.

Ini khususnya dalam bidang Ekonomi Hijau serta inisiatif tenaga boleh baharu yang sedang giat dibangunkan di Sarawak.

Turut disentuh, cadangan pembukaan Pejabat Konsulat Singapura di Kuching bagi memudahkan urusan perdagangan, pelaburan serta memperkukuh hubungan rakyat-ke-rakyat.

Usaha untuk merancakkan sektor pelancongan dari Singapura turut dibincangkan, memandangkan Sarawak memiliki khazanah alam semula jadi serta produk pelancongan yang unik dan berpotensi besar untuk menarik kedatangan pelancong antarabangsa.

Yang di-Pertua Negeri berharap kerjasama strategik antara Sarawak dan Singapura akan terus diperkukuh demi memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan serta menjamin kemakmuran jangka panjang bagi kedua-dua wilayah.

Jamalia
Foto: Astana Sarawak

beritartmsarawak

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *