


๐๐ข๐ง๐ ๐๐๐ก๐๐๐๐๐จ, ๐ญ๐ต ๐๐ฎ๐ป๐๐ฎ๐ฟ๐ถ โ Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menahan sebuah bot lampu yang dipercayai menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram menggunakan lampu di dasar laut, dalam rondaan penguatkuasaan di perairan timur Tanjung Melanim, semalam.
Bot berkenaan ditahan pada kedudukan kira-kira 0.5 batu nautika timur Tanjung Melanim selepas dikesan melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang dan berpotensi merosakkan ekosistem marin.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P. Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, penggunaan lampu di dasar laut merupakan kaedah penangkapan yang dilarang kerana mampu menarik hidupan marin secara tidak terkawal sekali gus menjejaskan keseimbangan ekosistem laut.
Sementara itu beliau turut memaklumkan, hasil pemeriksaan ke atas setiap kru mendapati, dokumen pengenalan diri kru vesel adalah meragukan, selain kegagalan mengemukakan dokumen pertukaran
juragan yang sah.
DUA KRU WARGA FILIPINA
Pemeriksaan turut mendapati seramai dua orang kru warga Filipina, masing-masing berumur 54 tahun dan 19 tahun, berada di atas vesel tersebut. Kesemua kru bersama vesel telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Khairulanuar menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti perikanan yang menggunakan lampu di dasar laut kerana ia memberi kesan buruk kepada sumber perikanan negara dan usaha pemuliharaan yang dilaksanakan kerajaan.
โJika dibiarkan, kegiatan ini bukan sahaja merugikan nelayan yang mematuhi undang-undang, malah mengancam kelangsungan sumber laut dan sumber rezeki generasi akan datang,โ katanya.
Beliau turut berkata, setiap nelayan dan kru vesel diwajibkan mematuhi undang-undang perikanan negara serta mengamalkan kaedah penangkapan ikan yang lestari.
โTindakan tegas termasuk penahanan vesel dan tindakan kompaun akan diambil terhadap mana-mana pihak yang disabitkan dengan kesalahan ini,โ jelasnya.
Dalam pada itu, Maritim Malaysia menyeru orang ramai dan komuniti maritim supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di perairan kepada pihak berkuasa bagi tindakan segera.
Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan W.P. Labuan di talian 088-387774 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
.
