

SIBU, 20 Jan – Kes jenayah indeks di daerah Sibu mencatatkan penurunan ketara sebanyak 36.44 peratus pada tahun 2025 berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, statistik menunjukkan jumlah kes jenayah indeks menurun daripada 697 kes pada tahun 2024 kepada 443 kes pada tahun 2025.
“Penurunan ini adalah hasil komitmen dan usaha berterusan semua warga IPD Sibu dalam membanteras jenayah kekerasan, jenayah harta benda serta jenayah terancang,” katanya.
Beliau berucap sedemikian di Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, hari ini.
ACP Zulkipli turut mendedahkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sibu turut mencatatkan peningkatan prestasi memberangsangkan sepanjang tahun 2025.
“Sebanyak 1,471 tangkapan direkodkan pada tahun 2025 berbanding 1,103 tangkapan pada tahun 2024, dengan peningkatan seramai 368 orang. Daripada jumlah itu, 1,040 individu dikenal pasti sebagai penagih dadah,” katanya.
Menurut beliau, nilai rampasan dadah juga meningkat dengan ketara kepada RM924,764 pada tahun 2025 berbanding RM175,946 pada tahun sebelumnya, melibatkan peningkatan sebanyak RM748,818.
Sementara itu, ACP Zulkipli memaklumkan kerugian akibat jenayah komersial di daerah Sibu sepanjang tahun 2025 mencecah RM20.34 juta, dengan kerugian tertinggi melibatkan kes scam pelaburan bernilai lebih RM9.5 juta, diikuti penipuan e-belian dan tawaran kerja tidak wujud.
Beliau turut menyentuh isu lumba haram yang masih menjadi perhatian, dengan 59 operasi dijalankan sepanjang 2025, melibatkan 240 motosikal disita, 1,607 saman dikeluarkan serta 21 individu ditangkap dan didakwa di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Wartawan/Foto: ALHADI
