RPN 2026-2035 bukti ikhtiar serius kerajaan untuk lonjakan landskap pendidikan negara – PMX

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
20 JAN. 2026

Pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 mencerminkan ikhtiar serius Kerajaan MADANI untuk melakukan lonjakan bermakna dalam landskap pendidikan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini kerana pendidikan bukan semata-mata soal pencapaian akademik atau kecemerlangan teknikal, ia adalah usaha besar membentuk insan yang berakal, beradab dan berjiwa kemanusiaan.

“Lonjakan ini mesti berakar kukuh pada jati diri, nilai dan budaya Malaysia, sambil berani menguasai disiplin serta cabaran baharu yang dituntut oleh zaman yang pantas berubah,” kata beliau dalam perkongsian di FB.

Terdahulu beliau berucap pada majlis pelancaran RPN 2026-2035 di Putrajaya hari ini.

BAHASA MELAYU WAJIB

Beliau berkata Bahasa Melayu wajib terus dimartabatkan sebagai bahasa ilmu, pemikiran dan wahana perpaduan nasional.

Pada masa yang sama, kata beliau penguasaan Bahasa Inggeris perlu diperkasa agar anak-anak kita berkeyakinan, berdaya saing dan mampu berperanan secara bermakna di pentas antarabangsa.

Anwar berkata komitmen terhadap pendidikan percuma, akses yang lebih adil serta peluasan peluang pembelajaran akan terus diperkukuh, demi memastikan tiada anak bangsa yang tercicir hanya kerana latar belakang atau kekangan sosioekonomi.

BAIK TIDAK DIUKUR

“Namun, kita harus insaf bahawa pelan yang baik tidak diukur pada keindahan dokumen atau kehebatan pidato sebaliknya terletak pada keberanian untuk melaksanakannya dengan tekad yang kental, disiplin yang tinggi dan integriti yang tidak boleh ditawar. Inilah amanah besar yang mesti kita pikul secara bersama,” jelas beliau.

“Insya-Allah, melalui pendidikan yang berteraskan karamah insaniah, kita akan melahirkan generasi berilmu dan berakhlak, seterusnya membina Malaysia MADANI yang adil, progresif dan benar-benar berperikemanusiaan,” tambah beliau lagi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *