







Oleh: Sholina Osman
21 JAN. 2026
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan aktiviti Demonstrasi Menembak di Lapangan Sasar Pusat Latihan Polis (PULAPOL) serta menyantuni asnaf dalam kalangan warga PULAPOL di Jalan Semarak yang kini dikrlenali sebagai Jalan Sultan Yahya Petra, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Keberangkatan Baginda disambut oleh Komandan PULAPOL Kuala Lumpur, Datuk Mohd Nor Yhazid Idris, bersama barisan pegawai kanan
akademi tertua di Malaysia, yang melatih calon polis dalam aspek akademik dan praktikal untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tuanku Syed Faizuddin Putra dipersembah taklimat mengenai aktiviti latihan serta menyaksikan demonstrasi menembak, sebelum berkenan menjalani sesi menembak bersama para pegawai dan anggota yang bertugas
BERSEMPENA DENGAN KAYUHAN
Program tersebut adalah aktiviti sampingan tambah nilai bersempena dengan Kayuhan Berbasikal bersama kira-kira 120 orang peserta anjuran Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis, ahli Persatuan Kebun Bandar Sungai Bunus di Kuala Lumpur dan TTG KL.
Para peserta mengelilingi kawasan Taman Tasik Titiwangsa, PULAPOL Kuala Lumpur, dan Kebun Bandar Sungai Bunus.
Program ini menjadi platform untuk beramah mesra serta menyantuni para pegawai dan anggota PDRM yang bertugas di PULAPOL, serta tanda sokongan dan penghargaan terhadap dedikasi mereka dalam menjaga keselamatan negara.
PENYERAHAN SUMBANGAN IKHLAS
Sempena program tersebut juga, Raja Muda Perlis berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan ikhlas daripada Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Mohd Khamil Jamil kepada 10 buah keluarga anggota Polis terpilih yang memerlukan bantuan.
Turut hadir sama di Astaka Padang Kawad berkenaan ialah Naib Canselor UiTM, Professor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin dan Presiden Persatuan Alumni UiTM Perlis, Ahmad Shamsul Baharin Mohd Hanafiah. – JM
