BELIA BERKUALITI PENENTU HALA TUJU NEGARA – FADILLAH

KUCHING, 25 Jan – Masa depan negara amat bergantung kepada generasi belia yang berkualiti.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, kemajuan sesebuah negara memerlukan golongan belia yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan teknikal, malah memiliki sahsiah diri yang baik.

“Sekiranya kita ingin melihat masa depan negara, kita perlu melihat kepada golongan muda. Jika golongan muda kuat dari segi ilmu, kemahiran serta sahsiah dan semangat perjuangan, maka merekalah harapan untuk membawa negara bergerak maju pada masa akan datang.” katanya.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, bidang akademik dan teknikal amat diperlukan bagi memenuhi keperluan serta permintaan pembangunan negara pada masa hadapan.

Beliau berkata demikian pada Program Petra Jaya Youth Meet Up dan Majlis Penyampaian Sumbangan Galakan Pendidikan Petra Jaya yang berlangsung di sini hari ini.

Datuk Amar Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya turut memberi komitmen untuk terus menyediakan bantuan kepada anak-anak di kawasan itu bagi membolehkan mereka meneruskan pengajian sehingga ke menara gading.

Beliau berharap bantuan yang disediakan tidak tercicir serta dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penerima.

Seramai 25 pelajar menerima sumbangan galakan pendidikan melibatkan pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi serta sukarelawan NEXGEN Petra Jaya.

Sepanjang tahun 2025, seramai 723 anak Petra Jaya telah menerima sumbangan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM172,500, melibatkan lapan pusingan agihan.

Turut hadir, isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Amar Ruziah Mohd Tahir dan Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Insinyur Irwan Zulkarnain Dato’ Muhammad Hasbie.

DEBBIE AMANDA

beritartmsarawak

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *