




Petaling Jaya | 26 Januari 2026
Kerajaan MADANI terus memperkukuh pembangunan tenaga kerja inklusif menerusi perasmian Kampus Rakan Grab oleh YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Menteri Sumber Manusia, di Axis Business Campus, Petaling Jaya, hari ini.
Kampus Rakan Grab merupakan penjenamaan semula Pusat Rakan Pemandu Grab yang berfungsi sebagai hab sokongan fizikal dan pembangunan kemahiran kepada pemandu, penghantar serta rakan peniaga Grab dalam ekosistem ekonomi gig negara.
Dalam ucapannya, YB Menteri menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan pekerja gig dilindungi, diperkasa dan tidak terpinggir dalam arus peralihan ekonomi digital, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, khususnya teras Kesejahteraan, Keberdayaan, Inovasi dan Tadbir Urus Baik.
Antara inisiatif utama kampus ini ialah GrabAcademy, yang menyediakan latihan literasi digital, kecerdasan buatan (AI), penggunaan teknologi serta pengurusan kewangan bagi meningkatkan kebolehpasaran dan mobiliti sosial pekerja gig. Sehingga kini, lebih 23,000 rakan Grab telah menerima manfaat latihan hasil kerjasama dengan institusi TVET tempatan.
PERLINDUNGAN SOSIAL
Aspek perlindungan sosial turut diperkukuh melalui penyertaan pekerja gig dalam skim SPS Padanan Caruman PERKESO, yang menyediakan jaringan keselamatan sosial setara dengan pekerja sektor formal.
YB Menteri turut menyentuh pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025, yang menjadi tonggak penting dalam mengimbangi fleksibiliti pekerjaan dan perlindungan kebajikan pekerja gig. KESUMA juga sedang mempergiat usaha penubuhan Majlis Perundingan Gig sebagai platform dialog antara kerajaan, pekerja dan penyedia platform.
