
KUCHING, 26 Jan – Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sarawak mahu prosedur operasi standard (SOP) berkaitan tangkapan dadah diperkemas bagi memastikan pengendalian kes-kes narkotik dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Pengerusi PEMADAM Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, langkah tersebut penting bagi mengelakkan ketirisan dalam proses penguatkuasaan yang boleh menyebabkan suspek terlepas daripada tindakan undang-undang.
Beliau menegaskan, pihaknya tidak mahu wujud situasi di mana rampasan dadah dalam jumlah besar dilaporkan, namun tiada suspek yang akhirnya didapati bersalah akibat kekurangan bukti atau kelemahan dalam pengurusan kes.
“Kerana kita tidak mahu mendengar dalam berita bahawa di sempadan banyak dadah dirampas tetapi tiada laporan mengenai individu yang didapati bersalah. Situasi seperti ini sering kita dengar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Dalam Negeri supaya mengambil maklum perkara tersebut dan meneliti keperluan untuk menambah baik SOP berkaitan tangkapan serta pendakwaan kes dadah.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan PEMADAM Sarawak di Kuching, pagi tadi.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa sepanjang tahun lalu, PEMADAM Sarawak telah menganjurkan sebanyak 92 program pendidikan dan kesedaran mengenai bahaya dadah di seluruh negeri.
Wartawan/Foto DICKIN
