Setiap sekolah, kampung, desa, pinggir kota mesti ada kumpulan silat pembakar semangat Melayu – PMX

Oleh: Sholina Osman
27 JAN. 2026

Pastikan setiap sekolah, setiap kampung, setiap desa, setiap pinggir kota, ada kumpulan silat supaya membakar semula semangat dan daya juang orang-orang Melayu di negara kita.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah ini seiiring dengan usaha kerajaan perkenalkan Pendekar MADANI kerana mahu mertabatkan dan perkasa silat di negara ini.

“Tahun lalu, saya telah memberi pengakuan di Pulau Pinang dalam perhimpunan ramai menyatakan kita gempur dengan semangat Pendekar MADANI, kita adakan di setiap zon pada peringkat mulanya, dan saya ucap terima kasih kerana kita mula di zon utara dengan Sungai Petani sebagai pengkalannya,” kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian Penutupan Himpunan “Gema Pendekar MADANI” Zon Utara 2026 Dan Kejuaraan Silat Terbuka Piala Pendekar Utama Negara Dato’ Dr. Raja Abdul Majid di Arena Of Sports, Sungai Petani, Kedah, Sabtu lalu.

GEMA PENDEKAR MADANI

Sehubungan itu Anwar berharap kejuaraan Piala Pendekar, Himpunan Gema Pendekar MADANI akan teruskan.

“Saya berharap guru-guru kita di sini akan terus memastikan gerakan ini menjadi gerakan negara yang hebat,” kata beliau.

Beliau menjelaskan dalam pembelajaran silat ini, bukan sahaja dilatih dengan ilmu pertahankan diri.

“Ia adala ilmu maka sebab itu anak-anak yang di sekolah mesti belajar kerana Pendekar MADANI mesti juga pintar di sekolah, berilmu dan tunjuk keputusan yang cemerlang,” jelas Anwar.

ANAK-ANAK FAHAM

“Mudah-mudahan, anak-anak faham,” tambah Perdana Menteri.

Jelas beliau sekalipun dunia berubah tetapi mesti ada kekuatan ilmu. Mesti ada kefahaman tentang teknologi. Mesti tahu semua itu yang baru.

“Tetapi, apa bedanya? Kita berakar kepada bumi kita. Kita tidak hilang budaya Melayu kita. Kita tidak lupa jati diri dan sejarah bangsa kita. Kita tidak pernah padam sejarah, liku-liku perjuangan bapak-bapak pejuang negara sehingga mencapai kemerdekaan dan berjaya sampai sekarang,” tegas Perdana Menteri lagi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *