MCMC terbitkan Laporan Siasatan Awam berhubung pendaftaran pengguna prabayar

Oleh: Sholina Osman
28 JAN. 2026

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerbitkan Laporan Siasatan Awam berhubung cadangan Penentuan
Suruhanjaya bagi Standard Mandatori untuk Pendaftaran Pengguna Perkhidmatan Selular Awam Prabayar (Standard Mandatori), selaras dengan Seksyen 65, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

Kenyataan media MCMC memaklumkan bahawa Siasatan Awam ini telah dilaksanakan di bawah Seksyen 55 dan 61 AKM 1998
susulan penerbitan Kertas Siasatan Awam pada 14 Oktober 2025.

Selaras dengan peruntukan Seksyen 61(1)(d), tempoh Siasatan Awam telah dilaksanakan selama minimum 45 hari sehingga 28 November 2025.

Dalam tempoh tersebut, MCMC
telah menerima 15 penghujahan, iaitu 10 daripada Penyedia Perkhidmatan danlima daripada orang awam.

KAD SIM DISALAHGUNA

Kelemahan dalam pendaftaran prabayar telah menyebabkan kad SIM
disalahgunakan secara meluas bagi kegiatan penipuan, termasuk penipuan dalam talian.

Justeru, rangka kawal selia perlu diperkukuh bagi menangani amalan
pendaftaran yang tidak konsisten serta kewujudan kad SIM praaktif dan
pendaftaran palsu di pasaran.

Mekanisme pendaftaran kendiri sedia ada bergantung kepada muat naik dokumen dan kaedah ini terdedah kepada pemalsuan dan kecurian identiti.

KEBOLEHKESANAN DAN KEBERTANGGUNGJAWABAN

Manakala, ketiadaan identiti digital yang selamat juga mengehadkan kebolehkesanan dan kebertanggungjawaban pengguna.

Secara keseluruhannya, kelemahan ini menimbulkan risiko yang ketara terhadap keselamatan pengguna, keselamatan negara dan integriti perkhidmatan digital, sekali gus memerlukan rangka kerja
kawal selia yang lebih selamat, seragam dan boleh dikuatkuasakan.

Maklum balas yang diterima menunjukkan sokongan meluas dan konsisten daripada pihak industri dan orang awam terhadap keperluan memperketat proses pendaftaran prabayar untuk melindungi pengguna dan mengukuhkan keyakinan terhadap perkhidmatan digital.

KERJA KAWAL SELIA

Standard Mandatori yang dicadangkan ini memperkenalkan rangka kerja kawal selia yang diperkukuh bagi meningkatkan keselamatan, integriti dan akauntabiliti dalam pendaftaran kad SIM prabayar.

Langkah‑langkah utama, termasuk platform pendaftaran automatik yang selamat, pengesahan biometrik serta penetapan tanggungjawab yang lebih jelas bagi penyedia perkhidmatan dan pengedar, menyediakan kawal selia yang lebih ketat terhadap pendaftaran palsu dan penggunaan tidak wajar perkhidmatan prabayar.

Salah satu penambahbaikan utama dalam Standard Mandatori ini ialah
pengintegrasian MyDigital ID sebagai mekanisme pengesahan bagi pendaftaran kendiri, yang terpakai kepada individu yang memiliki MyDigital ID.

IDENTITI DIGITAL NASIONAL

Langkah ini menyokong inisiatif identiti digital nasional Kerajaan dan menyediakan tahap jaminan yang lebih tinggi bagi pendaftaran kendiri, sekali gus mengukuhkan integriti dan kebolehpercayaan proses pendaftaran prabayar.

Laporan Siasatan Awam ini yang kini diterbitkan dan boleh diakses di
https://mcmc.gov.my/en/resources/reports/public-inquiry-report/public-inquiry-report-on-the-new commission-determ, merangkumkan semua maklum balas yang diterima serta menggariskan penilaian akhir dan pendirian dasar MCMC berhubung Standard Mandatori yang dicadangkan.

Penerbitannya menegaskan
komitmen MCMC terhadap pembangunan rangka kawal selia yang telus dan berasaskan rundingan.

Susulan itu, MCMC akan mengeluarkan dan mendaftarkan
Standard Mandatori sebagai Penentuan Suruhanjaya mengikut seksyen 55 dan 104(4) AKM 1998, bersama set Soalan Lazim (FAQ), menjelang akhir Februari 2026. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *