





Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
28 JAN. 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan tertinggi kepada seluruh warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) atas rekod kutipan RM76.18 bilion pada tahun lalu.
Beliau berkata ternyata sebanyak RM8.93 bilion lebih tinggi berbanding sasaran awal.
“Namun dalam kita meraikan kejayaan besar ini, jangan kita alpa kerana amanah berkhidmat kepada bangsa dan negara menuntut setiap tugas dilaksanakan dengan penuh kejujuran, disiplin dan berteraskan tatakelola yang baik,” kata Anwar dalam perkongsian di FB.
SEBAGAI MEMBERI PENGHORMATAN
Terdahulu beliau hadir pada Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-44 di Cyberjaya sebagai memberi penghormatan kepada warga JKDM
yang menggalas tanggungjawab besar mempertahan integriti sempadan negara, di samping memperkukuh hasil Kerajaan.
Anwar berkata beliau yakin JKDM mampu melakar prestasi yang lebih cemerlang pada tahun ini.
Beliau berkata seluruh negara harus bersama dalam usaha membetulkan sistem usang yang bobrok, menutup setiap kelompongan dan ketirisan, serta memperkukuh kerjasama demi membina kebanggaan yang hakiki untuk negara.
“Kita mengiktiraf pencapaian JKDM yang tekal menjunjung integriti dan profesionalisme dalam mengukuhkan kedudukan kewangan negara,” kata beliau. – JM
