
SARIKEI, 28 JAN- Seorang pegawai farmasi kerugian kira-kira RM15,000 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan sindiket tipu tender projek dalam satu kejadian yang berlaku pada pertengahan bulan ini.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintenden Aswandy Anis berkata, mangsa seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30-an
telah dihubungi oleh seorang lelaki yang mendakwa sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak dan menawarkan tender pembekalan peralatan perubatan kepada syarikat mangsa.
Menurut beliau, suspek kemudiannya memberikan nombor telefon seorang pembekal kononnya bagi membolehkan mangsa mendapatkan peralatan yang diperlukan dengan segera.
Mangsa yang terpedaya kemudian bersetuju membuat pembelian peralatan perubatan tersebut.
“Bagaimanapun, selepas pembayaran dibuat, mangsa tidak menerima sebarang barangan seperti dijanjikan, mangsa juga gagal menghubungi kedua-dua suspek apabila talian telefonnya disekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Siasatan awal mendapati mangsa telah melakukan beberapa transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke dalam dua akaun bank berbeza yang diberikan oleh suspek, dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan sekitar RM15,000.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu
Wartawan: Deen
Sumber: IPD Sarikei
