


Wartawan JM
29 JAN. 2026
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mencipta kejayaan di pentas dunia selepas berjaya disenaraikan dalam penarafan ‘The World University Rankings (2026 : Education Studies’ di kedudukan 101-125 .
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata berdasarkan laporan terkini, UPSI berada di kedudukan 101 hingga 125 berbanding sebelum ini di kedudukan 126 hingga 150.
“Pencapaian ini semakin mengukuhkan kedudukan UPSI menjadi universiti pendidikan terkemuka di Malaysia dan dunia malah menjadi pengiktirafan terhadap bidang pendidikan kita di peringkat antarabangsa,” katanya.
Menurut beliau seluruh warga UPSI sudah bekerja keras demi meningkatkan kualiti penyelidikan mencapai tahap berimpak tinggi, jaringan industri, serta kolaborasi antarabangsa.
TERAPAN KONSEP BITARA
Prof Md Amin berkata kejayaan itu juga dicapai disebabkan kebekerkesanan terapan konsep BITARA (Bijak Tanpa Tara) iaitu Bakat Unggul (B), Inovasi dan Penyelidikan (I), Transformasi Teknologi (T), Adab, Akhlak, Akademik (A), Revolusi Ekosistem(R) dan Adaptasi Global (A) bagi menjulang nama dan maruah UPSI.
“Saya menganggap penarafan yang diraih membuktikan keupayaan UPSI memenuhi kriteria utama yang mencakupi pengajaran yang menepati aspek kualiti persekitaran pembelajaran serta persekitaran penyelidikan yang dinilai aspek jumlah, pendapatan dan reputasi dalam penyelidikan.
Kejayaan itu dikongsi oleh beliau bersama warga UPSI ketika menyampaikan ucapan sempena majlis Aspirasi UPSI 2026 di hadapan lebih 3,000 warga universiti berkenaan di Dewan Tuanku Canselor.
PENGORBANAN DAN SOKONGAN
“Saya sangat menghargai pengorbanan dan sokongan akademia serta kakitangan pentadbiran yang merancang dan melaksanakan pelbagai strategi dalam bidang pendidikan digital yang efektif mengikut perkembangan semasa.
“Pencapaian ini juga selaras dengan fokus utama dalam bidang pendidikan, menjadikan UPSI melonjak sebagai institusi pengajian tinggi yang melahirkan pendidik berkualiti tinggi untuk berkhidmat di seluruh negara,” katanya.
“Pencapaian dan kejayaan ini juga selaras dengan seruan Menteri Pendidikan Tinggi untuk mengangkat nama negara dalam pendidikan tinggi Malaysia menjelang tahun 2030,” tambah beliau. – JM
