
KUCHING, 29 Jan — Orang ramai diingatkan supaya tidak membiarkan diri menjadi keldai akaun kerana penglibatan dalam aktiviti itu boleh menjadikan pemilik akaun terlibat dalam jenayah.
Eksekutif Pejabat Wilayah Bank Negara Malaysia (BNM) Kuching, Deena Wati Md Delan, berkata perbuatan menyewakan atau membenarkan akaun bank digunakan oleh pihak lain boleh mendorong individu terlibat secara langsung dalam kegiatan jenayah kewangan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemilik akaun supaya lebih peka dan memahami perbezaan antara menyewa akaun serta akibat membenarkan akaun digunakan untuk tujuan jenayah.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bijak pengguna sempena Expo Pengguna Antarabangsa Borneo yang berlangsung di Metrocity, Kuching.
Dalam ceramah tersebut, Deena turut menekankan kepentingan talian kecemasan 997 bagi melaporkan kes penipuan kewangan, memandangkan masih ramai yang belum menyedari kewujudan talian yang disediakan oleh kerajaan itu.
Menurutnya, talian 997 melibatkan kerjasama tiga agensi utama iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pengguna Sarawak (PPS), Wynson Ong, berkata penyewaan kad bank berpotensi menyebabkan individu terbabit hilang kelayakan untuk memiliki akaun bank pada masa hadapan.
“Dan mungkin pada masa akan datang, permohonan untuk membuka akaun baharu juga akan menjadi sukar kerana individu terbabit dikenal pasti sebagai keldai akaun dan disenarai hitam,” katanya.
Beliau berkata PPS akan terus menganjurkan program kesedaran bagi membanteras jenayah kewangan yang memberi kesan buruk kepada banyak pihak.
DICKIN
