MAB kemuka 34 usul untuk diteliti kerajaan – Fahmi

Oleh: Sholina Osman
30 JAN 2026

Persatuan Orang-Orang Buta Malaysia (MAB) mengemukakan sebanyak 34 usul untuk perhatian dan penelitian pihak kerajaan, merangkumi pelbagai aspek penting termasuk akses maklumat, pendidikan, peluang pekerjaan serta peranan teknologi.

Usul ini dikemukakan ketika Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menghadiri sesi pertemuan bersama MAB di Dewan MAB di Brickfields, petang semalam.

Fahmi berkata antara perkara yang ditekankan ialah keperluan agar penyampaian maklumat oleh media menjadi lebih menyeluruh dan inklusif, dengan mengambil kira keperluan golongan cacat penglihatan, khususnya melalui penggunaan elemen audio yang lebih konsisten dan berkualiti.

PENUH DENGAN PERKONGSIAN

“Perjumpaan berlangsung dalam suasana yang amat terbuka dan penuh dengan perkongsian bernas,” kata Fahmi dalam perkongsian di FB.

Beliau berkata banyak pandangan, pengalaman serta cadangan konstruktif diketengahkan, mencerminkan keprihatinan MAB terhadap isu kebolehcapaian, keterangkuman serta masa depan komuniti orang cacat penglihatan di negara ini.

“Selain itu, kami turut menyentuh potensi besar golongan ini dalam industri kreatif yang wajar diteroka dan diperkasakan melalui sokongan dasar, latihan serta peluang yang adil,” jelas beliau.

Fahmi menambah sesi ini membuka ruang dialog penting, sekali gus mengingatkan kita bahawa pembangunan negara yang sebenar tidak akan meninggalkan sesiapa di belakang. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *