PROJEK NAIK TARAF MEMODENKAN PARLIMEN MALAYSIA BERTARAF DUNIA

PARLIMEN MALAYSIA, KUALA LUMPUR – 29 Januari 2026 – Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) hari ini menyerahkan projek siap dua dalam satu iaitu Projek Kerja Baik Pulih dan Naik Taraf Sistem Persidangan serta kerja-kerja berkaitan di Dewan Persidangan Parlimen Malaysia, dan Kedua, Projek Kerja Baik Pulih Sistem
Kamera Keselamatan CCTV bagi Kompleks Parlimen Malaysia, Kediaman Rasmi Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta Taska Parlimen Malaysia.

Majlis Penyerahan yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Parlimen ini telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, dan turut disaksikan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta wakil pengurusan tertinggi daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM), KKR, JKR Malaysia dan Parlimen Malaysia.

KOMITMEN KERAJAAN MADANI

Projek ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memodenkan
prasarana Parlimen Malaysia iaitu institusi demokrasi terulung negara dengan teknologi canggih dan terkini untuk menjadikan Parlimen kelas dunia setanding dengan parlimen-parlimen kelas dunia yang lain.

Projek pertama melibatkan kerja-kerja menaik taraf Sistem Persidangan di
Dewan Persidangan Parlimen bagi menyediakan sistem sandaran bagi memastikan operasi dan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara tidak terganggu atau tergendala sekiranya sistem persidangan utama menghadapi gangguan atau mengalami kegagalan operasi.

Projek kedua pula melibatkan pemasangan kamera baharu di Blok Utama, penambahan kamera di Dewan Serbaguna, Kediaman Rasmi Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Kediaman Rasmi Yang di-Pertua Dewan Negara dan Taska Parlimen serta menaik taraf Bilik Kawalan Utama di Blok Utama.

Walaubagaimanapun, kedua-dua projek naik taraf tersebut masih mengekalkan elemen konservasi sejajar dengan status Bangunan Parlimen sebagai Tapak Warisan Kebangsaan dan turut mengambil kira pematuhan Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Di masa yang sama ianya masih mengekalkan hiasan dalaman yang eksklusif yang mencerminkan imej Parlimen berbudaya Malaysia yang berprestij dengan nilai estetik yang tinggi.

Pelaksanaan projek ini dijangka memberi manfaat besar kepada operasi Parlimen, antaranya:
• Sesi persidangan yang lebih lancar, dengan penggunaan sistem teknologi
terkini bagi mengurangkan gangguan teknikal dan memastikan perjalanan
sidang yang lebih teratur.

  • Tahap keselamatan yang dipertingkatkan, melalui penggunaan sistem CCTV moden yang dilengkapi teknologi analitik, sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk menjadikan Parlimen bertaraf dunia yang efisien, berdaya maju dan berteknologi tinggi.
  1. Kejayaan menyiapkan projek ini membuktikan keupayaan JKR dalam mengendalikan projek berprofil tinggi secara cekap dan berkesan. KKR dan JKR Malaysia akan terus komited memastikan kemudahan awam negara sentiasa berada pada tahap terbaik demi keselesaan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

KEMENTERIAN KERJA RAYA I Foto oleh Hafez Wahab

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *