


SIBU, 31 Jan – Polis Daerah Sibu menahan seramai 195 individu serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM300,000 menerusi Op Tapis Khas Narkotik yang dijalankan sepanjang sepanjang bulan Januari lepas.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili, berkata operasi-operasi yang dilaksanakan itu menyaksikan lebih 13.5kilogram dadah pelbagai jenis dirampas dengan anggaran nilai lebih RM299,000.
“Daripada jumlah keseluruhan tangkapan, 14 individu adalah warga asing,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, hasil daripada operasi itu juga menyaksikan 56 individu telah didakwa di mahkamah.
Daripada jumlah yang didakwa di mahkamah, lima individu dituduh di bawah Seksyen 39B, tiga di bawah Seksyen 39A(2), 11 di bawah Seksyen 39A(1), 23 di bawah Seksyen 12(3) dan sembilan warga asing didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis Diraja Malaysia, khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, akan terus mempertingkatkan usaha bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah,” katanya.
-Alhadi/PR-
