Menteri Luar Negeri adakan lawatan kerja ke AS pada 3,4 Februari

Wartawan JM
3 FEB. 2026

Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan lawatan kerja ke Amerika Syarikat (AS) pada 3 dan 4 Februari 2026.

Kenyataan media Kementerian Luar Negeri memaklumkan bahawa ia atas jemputan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio untuk menghadiri Mesyuarat Mineral Kritikal Menteri-menteri Luar Negeri di Washington, D.C.

Lawatan ini merupakan peluang penting untuk memperkukuh penglibatan dua hala antara Malaysia dan AS, terutamanya dalam bidang kerjasama mineral kritikal, yang amat penting bagi menyokong
pertumbuhan ekonomi yang mampan, memajukan pembangunan teknologi, serta membina rantaian
bekalan yang kukuh dan pelbagai.

Semasa lawatan, Menteri Luar Negeri juga dijadual untuk bertemu dengan rakan sejawat untuk membincangkan perkara-perkara berkepentingan bersama, meneroka peluang pelaburan, penyelidikan
bersama, inovasi, inisiatif pembangunan kapasiti, dan memupuk kerjasama industri.

TERUS MEMPERKUKUH USAHA

Lawatan ini juga akan terus memperkukuh usaha di l bawah Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia–AS, yang telah dinaik taraf pada 26 Oktober 2025.

Ianya bakal membina momentum daripada Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Amerika Syarikat Mengenai Kerjasama untuk Memperkembangkan Rantaian Bekalan Mineral Kritikal Global dan Meningkatkan Pelaburan.

Usaha ini akan memajukan kerjasama yang mampan dan saling menguntungkan dalam sektor yang strategik ini.

Pada tahun 2025, jumlah perdagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat meningkat sebanyak 13 peratus kepada RM367.47 bilion (USD85.88 bilion), berbanding RM325.16 bilion (USD71.44 bilion) pada tempoh yang sama pada tahun 2024, dengan eksport meningkat sebanyak 17.2 peratus kepada RM233.08 bilion (USD54.54 bilion), manakala import meningkat 6.4 peratus kepada RM134.39 bilion (USD31.34 bilion). – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *