



Wartawan JM
5 FEB. 2026
Buku Worldview dan Hegemoni Sastera Melayu terbitan Penerbit UPSI sekali lagi menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila berjaya memenangi Anugerah Khas ASEAN International Book Award (AIBA) Kategori Buku Sastera Terbaik, di Hotel Ames, Ayer Keroh, Melaka.
Majlis penganugerahan itu disempurnakan oleh Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd Ali Mohd Rustam yang dihadiri tokoh akademik, penulis, rakan strategik serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff menganggap kejayaan Prof Azhar Wahid dari Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi menjadi pemangkin kepada akademia lain untuk terus berkarya.
AKAN MEMBERI INSPIRASI
“Saya berbangga dengan kejayaan dan pengiktirafan terhadap Prof Dr Azhar Wahid dan buku ini, malah saya yakin ia akan memberi inspirasi kepada akademia lain untuk menghasilkan karya bermutu yang bermanfaat untuk masyarakat dan negara,” katanya.
Pengarah Pejabat Karang Mengarang (PKM) UPSI, Prof. Madya Dr. Nordiana Hamzah, berkata pengiktirafan terhadap buku tersebut membuktikan keupayaan penerbitan universiti dalam mengangkat karya ilmiah sastera dan pemikiran Melayu ke peringkat global, sekaligus mengukuhkan kedudukan UPSI sebagai institusi yang semakin mendapat perhatian di persada antarabangsa.
“Pengiktirafan terhadap buku Worldview dan Hegemoni Sastera Melayu menunjukkan bahawa penerbitan ilmiah berteraskan sastera dan pemikiran Melayu masih relevan, kritikal dan berdaya saing dalam membentuk wacana intelektual negara,” katanya.
HASIL KERJASAMA ERAT
Beliau menambah bahawa kejayaan ini merupakan hasil kerjasama erat antara penulis, editor dan pasukan penerbitan PKM dalam memastikan kualiti dan mutu kandungan, penyuntingan, pembacaan pruf serta persembahan buku memenuhi piawaian akademik terkini.
Pengiktirafan ini, katanya, mengukuhkan peranan Penerbit UPSI sebagai penerbit universiti yang komited dalam memperkasa penerbitan ilmu, khususnya dalam bidang sastera, budaya dan pemikiran Melayu.
Sementara itu, penulis buku Worldview dan Hegemoni Sastera Melayu, Prof. Dr. Azhar Wahid, menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu penghargaan terhadap usaha memperkukuh pemikiran Melayu melalui analisis sastera yang kritis dan berteraskan tradisi ilmu tempatan.
BUKAN SEKADAR KEJAYAAN
“Pengiktirafan ini bukan sekadar kejayaan sebuah buku, tetapi pengiktirafan terhadap usaha mengangkat sastera Melayu sebagai medan wacana pemikiran yang berakar pada budaya sendiri dan mampu berdialog dengan dunia,” katanya.
Ketua Editor PKM, Azlan Mohd Dahari berkata beliau bertanggungjawab menyelia aspek editorial dan memastikan kualiti penerbitan buku Worldview dan Hegemoni Sastera Melayu setebal 120 halaman terbitan tahun 2025 itu selaras dengan standard penerbitan ilmiah universiti. – JM
