PDRM–KNPA METERAI MoU PERKUKUH KERJASAMA PENCEGAHAN JENAYAH RENTAS SEMPADAN

Seoul, 4 Februari 2026 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Korean National Police Agency (KNPA) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Kepolisan dalam Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah Rentas Sempadan sebagai langkah strategik memperkukuh kerjasama dua hala penguatkuasaan undang-undang antara kedua-dua negara, di sini.

Pemeteraian MoU disempurnakan oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail bersama Acting Commissioner General, KNPA, Mr. Yoo Jae Seong yang menjadi asas penting dalam memperkasa kerjasama penguatkuasaan undang-undang antara PDRM dan KNPA.

MoU berkenaan merangkumi pengukuhan perkongsian risikan, pertukaran maklumat serta kerjasama siasatan bagi menangani jenayah rentas sempadan termasuk penipuan kewangan, jenayah siber dan narkotik.

LAWATAN RASMI

Dalam pelaksanaan MoU tersebut, kedua-dua pihak bersetuju memperluas pembangunan kapasiti serta latihan kepolisan merangkumi bidang forensik digital, analisis aliran kewangan, siasatan siber serta penggunaan teknologi terkini dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang.

Dalam rangka lawatan rasmi yang berlangsung dari 2 hingga 7 Februari itu, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid bersama delegasi PDRM dijangka (esok) akan menghadiri sesi libat urus bersama agensi penguatkuasaan berkaitan bagi memperkukuh kerjasama dalam menangani jenayah penipuan dan keselamatan awam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, CP Dato’ M. Kumar S. Muthuvelu, Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Korporat/Kewangan), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, SAC Koh Seok Keng, Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia) JSJK Bukit Aman, ACP Zulkeflee Sulaiman serta ACP Perhubungan Antarabangsa, Urus Setia KPN Bukit Aman, ACP Loh Pey Pey.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *