Majlis Tautan Kasih rai alumni zaman SITC meniti usia 100 tahun

Wartawan JM
6 FEB. 2026

Malam Tautan dan Jalinan Kasih Alumni berjaya menemukan 14 alumni zaman Sultan Idris Training College (SITC) di Dewan Sri Tanjung, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS), Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI) Sabtu lalu.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff yang turut hadir pada majlis itu menganggap pertemuan alumni SITC memberi peluang untuk mereka mengubat rindu dan mengimbau kenangan silam yang menyentuh jiwa.

Majlis anjuran Persatuan Alumni Suluh Budiman (PASB) dengan kerjasama Pusat Alumni UPSI itu dirasmikan oleh alumni SITC yang juga bekas Menteri Negara Kanan (Pendidikan) Singapura, Pendidikan, Datuk Seri Sidek Saniff.

KENANGAN ZAMAN BELAJAR

Datuk Seri Sidek menganggap pertemuan itu sangat bermakna dalam mengimbau kenangan zaman belajar di SITC bersama kawan -kawan seangkatannya sekitar 1955 hingga 1957.

Kini pada usia 88 tahun beliau mempunyai sejarah peribadi yang sukar dilupakan berikutan dilantik sebagai ketua pelajar pada tahun akhir sebelum menamatkan pengajian.

Katanya, SITC sangat bermakna dalam hidupnya kerana di siitulah tempatnya belajar mengenal nilai manusia, keterbukaan fikiran dan demokrasi.

Beliau antara alumni SITC yang saban tahun menghadiri majlis yang diadakan di UPSI apabila dijemput bagi meraikan alumni seperti majlis Sirih Pulang ke Gagang.

BERTUJUAN MENGHIMPUN PELAJAR

Presiden PASB yang juga ahli Lembaga Pengarah UPSI, Datuk Seri Ahmad Burak berkata program berkenaan diadakan bertujuan menghimpun pelajar-pelajar zaman SITC yang kebanyakannya meniti usia 100 tahun.

“Selaku presiden PASB, saya rasa pertemuan dalam reunion kali ini begitu bererti sekali kerana semua bekas pelajar SITC yg berusia antara 86 hingga 100 tahun yang hadir itu masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri,” katanya.

Beliau berkata selain mantan menteri, timbalan menteri besar , hadir sama bekas pelajar yg pernah nencipta nama di dalam dan luar negara.

JUMLAH YANG HADIR

Ahmad yang juga Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Alumni Universiti Awam Malaysia berkata, walaupun jumlah yang hadir tidak begitu ramai tetapi ini sudah memadai untuk dikenang dan dingati sama ada peserta atau penganjur.

Dua tokoh ternama yang turut hadir ialah mantan Menteri Kanan Pendidikan Singapura, Datuk Seri Sidek Saniff dan mantan Timbalan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Abd Jabbar Ibrahim.

“PASB akan membantu memdokumentasikan program ini untuk simpanan UPSI termasuk mengabadikan foto setiap peserta beserta biodata mereka, malah akan bekerjasama dengan Pusat Alumni UPSI untuk menjejak bekas pelajar SITC yang tidak dapat hadir pada reunion kali ini.

PELAJAR ERA PERTAMA

“Kami berharap dapat mengumpulkan lebih banyak maklumat mengenai bekas pelajar era pertama institusi yang banyak berjasa dalam sisten pendidikan negara,” katanya.

Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr Omar Firdaus Mohd Said berkata pihaknya sentiasa memberikan sokongan terhadap apa sahaja program yang dianjurkan oleh PASB selaku satu-satunya pertubuhan yang berdaftar dan diiktiraf di UPSI.

“Penganjuran Reunion SITC kali ini adalah simbolik kepada kekuatan institusi karamah ini dalam memastikan legasi pendidikan negara sentiasa dijulang dan dimartabatkan,” katanya.

Selain itu, katanya, Pusat Alumni turut berkongsi segala inisiatif baharu yang diperkenalkan kepada alumni atas prinsip, “Selagi hayat di kandung badan, kami tetap berbakti”. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *