Polis tumpaskan Geng Boy Arau terlibat kes pecah rumah, curi kereta di Perlis

Oleh: Sholina Osman
6 FEB. 2026

Polis Arau terus memerangi jenayah pecah rumah dan curi kereta dari terus berleluasa di sekitar Perlis setelah berjaya menumpaskan kegiatan jenayah Geng Boy Arau.

Ketua Polis Daerah Arau Superitendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata dengan penahanan Geng Boy Arau yang melibatkan tiga lelaki dan seorang perempuan yang berumur 28
hingga 47 tahun ini dipercayai telah menyelesaikan empat kes pecah rumah dan satu kes curi kereta di Perlia sejak awal tahun ini.

“Pada pukul 7.50 malam pada 4 Februari, cawangan D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis telah menjalankan operasi tangkapan terhadap seorang lelaki berusia 28 tahun di tepi Jalan Taman PKNK, Jalan Tun Abdul Razak Alor Setar, Kedah,” kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Arau, petang semalam.

Beliau berkata susulan dari tangkapan tersebut pada pukul lebih kurang 10.30 malam pada 4 Februari di pekarangan kafe sebuah universiti di Arau, Perlis pasukan polis menahan sebuah kereta jenis Perodua Alza no plat WC5249J yang dinaiki oleh dua lelaki.

BEBERAPA DAS TEMBAKAN

Beliau berkata beberapa das tembakan terpaksa dilepaskan ke arah tayar hadapan kereta Perodua Alza yang dipandu suspek kerana cuba melanggar pasukan polis.

“Akibat dari tembakan yang mengenai tayar kereta sehingga pecah telah menyebabkan suspek bertindak memberhentikan kenderaan di kawasan Taman Bersatu Jalan Batas Liku, Arau,” kata Ahmad Mohsin.

Beliau berkata, hanya seorang suspek berjaya ditangkap manakala seorang lagi telah melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.

“Susulan dari tangkapan ke atas suspek tersebut, pada pukul 12.45 tengah malam pada 5 Februari, cawangan D4 JSJ IPK Perlis melakukan tangkapan susulan ke atas seorang perempuan di sebuah rumah di Jalan Santan, Kangar, Perlis yang mana dipercayai terlibat dengan kes curi dan pecah rumah.

DITEMUI BARANGAN DICURI

Ahmad Mohsin berkata, di rumah berkenaan juga telah ditemui barangan dicuri berdasarkan dari laporan polis yang dibuat.

Beliau berkata pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada 5 Februari juga seorang lagi suspek iaitu “Boy” selaku dalang kumpulan yang telah melarikan diri sebelum ini akhirnya telah berjaya ditangkap di kawasan Santan, Kangar, Perlis.

Ahmad Mohsin berkata “Boy” ini mempunyai 12 rekod lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan 12 rekod lampau melibat pelbagai kesalahan jenayah.

“Manakala seorang lagi suspek lelaki mempunyai lima rekod lampau di bawah ADB 1952 dan satu rekod lampau di bawah seksyen 307/186 Kanun Keseksaan,” kata beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *