Dr Zulkiflli lancar tiga projek Masjid Al-Hidayah sempena program ZIKIR

Wartawan JM
8 FEB. 2026

Masjid Al-Hidayah Bandar Behrang 2020 atau dikenali sebagai “Masjid Biru” giat melaksanakan pelbagai projek yang bermanfaat untuk kariah masjid serta komuniti setempat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan hadir merasmikan tiga projek yang diusahakan masjid berkenaan sempena program MADANI Membantu: Ziarah Kasih Rahmah ( ZIKIR) Bersama Komuniti Behrang semalam.

Sempena program beliau menyampaikan sumbangan bersama Yayasan Waqaf Malaysia kepada penduduk sekitar Behrang sebagai tanda prihatin dan menyantuni masyarakat.

Sebelum itu beliau beriadah mengayuh basikal bersama 20 penduduk Bandar Behrang 2020 dari Majlis Daerah Tanjong Malim ( MDTM) dan sampai di masjid berkenaan sekitar pukul 10.00 pagi.

PROJEK PEMASANGAN SOLAR

Dr Zulkifli dijemput merasmikan projek pemasangan solar, dewan terbuka yang baru dibina dua bulan lalu, seterusnya merasmikan tapak semaian hidroponik.

Beliau turut meninjau tapak projek penuaian air hujan, lori muatan minyak masak terpakai untuk kitar semula serta pemeriksaan bateri percuma oleh Syarikat Bateriku milik usahawan Bumiputera.

Beliau memuji inisiatif jawatan kuasa masjid yang melaksanakan pelbagain projek yang bermanfaat terhadap komuniti setempat malah menjimatkan kewangan masjid.

MENJIMATKAN TENAGA ELEKTRIK

Projek Solar yang dapat menjimatkan tenaga elektrik sehingga 60 peratus di bawah program Rumah Ibadat Hijau dilaksanakan dengan kerjasama dengan Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation ( MGTC) dan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) di bawah kelolaan Bendahari Masjid, Fauzi Ghani.

Program Pemindahan Ilmu Sistem Penuaian Air Hujan dilaksanakan Masjid Al-Hidayah dengan kerjasama Fakulti Sains Kemanusiaan ( FSK) dan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) , Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), manakala hidroponik antara masjid dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia ( Mardi).

Pengerusi Masjid, Shahmuri Agus berkata masjid yang dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 2016 itu mengalu-alukan inisiatif menjalin kolaborasi dengan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta institusi pengajian tinggi awam.

Hadir sama Orang Besar Jajahan Miallim, Toh Paduka Setia
Dato’ Ir. Dr. Safry Kamal Ahmad; Pengurus Divisyen Komuniti Lestari MGTC, Muhd Muhtazam Noor Din serta Pegawai Penyelidik Kanan Mardi Seremban, Mohd Johaary Abdul Hamid. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *