






Oleh: Sholina Osman
9 FEB. 2026
Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) akan terus melipatgandakan usaha berikhtiar untuk menyalurkan bantuan bukan hanya bersifat ‘kelegaan’ jangka pendek, tetapi akan terus digerakkan ke arah pemerkasaan ekonomi asnaf itu sendiri agar lebih ramai golongan ini dapat keluar daripada ‘kepompong’ kemiskinan untuk selamanya.
Pada masa yang sama Baginda mengingatkan bahawa kekuatan sesebuah institusi terletak pada nilai dan akhlak penjawatnya.
Justeru, Baginda mahu MAIPs terus memupuk budaya kerja berintegriti tinggi, profesional dan penuh ihsan dalam apa jua yang dilaksanakan.
TAKLIMAT BENGKEL HALATUJU
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut kenyataan MAIPs ketika berkenan berangkat menerima sembah taklimat Bengkel Halatuju 2026-2030 Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di ibu negara baru-baru ini.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda puteri Baginda berdua iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs mengingatkan supaya seluruh warga Majlis mempersiapkan diri dengan tekad baharu, berfikiran jauh, serta sentiasa berpijak pada prinsip amanah yang menjadi tunggak utama kepada organisasi ini.
BERANI MENGEMUDI INOVASI
MAIPs juga harus terus berani mengemudi inovasi, makin cekap dalam penyampaian perkhidmatan, serta lebih dekat dengan denyut nadi rakyat yang memerlukan.
Tuanku Raja Muda juga menyeru agar segala keputusan, cadangan dan perancangan yang dipersetujui disusuli dengan pemantauan rapi serta pelaksanaan yang berkesan.
Tiada maknanya sesuatu dasar atau strategi jika ia tidak diterjemahkan menjadi manfaat yang nyata kepada golongan yang memerlukan di negeri Perlis tercinta ini. – JM
