Penolong pengurus wanita di Bentong rugi RM1 juta lebih ditipu “phone scam”

Wartawan JM
9 FEB. 2026

Seorang Penolong Pengurus wanita dari Bentong, Pahang rugi RM1,313,210.00 setelah ditipu “Phone Scam” yang mengaku dari syarikat kurier GDEX.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata wanita berusia 55 tahun ini yang cemas diugut “Phone Scam” kemudiannya terpaksa mengeluarkan wang simpanan daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta pelaburan Public Bank Mutual miliknya.

Beliau berkata mangsa telah memasukkan wang tersebut ke dalam tiga akaun bank yang diberikan oleh suspek.

“Mangsa telah membuat sebanyak lima transaksi pemindahan wang ke akaun-akaun berkenaan dalam tempoh 24 Disember 2025 hingga 4 Januari 2026, dengan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM1,313,210.00,” kata Yahaya dalam kenyataan media hari ini.

GAGAL MENGHUBUNGI SUSPEK

Yahaya memberitahu mangsa menyedari dirinya setelah gagal menghubungi suspek apabila nombor telefon telah disekat.

Berikutan itu kata beliau mangsa tampil membuat laporan di mana Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang telah menerima berkaitan kes ini dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.

“Pada 11 Disember 2025, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali yang mendakwa daripada pihak GDEX, memaklumkan bahawa mangsa kononnya menerima satu bungkusan mengandungi barangan terlarang,” kata Yahaya.

Beliau berkata panggilan mangsa itu kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis.

WANG SIMPANAN MANGSA

“Suspek telah memperdaya mangsa dengan mendakwa wang simpanan mangsa perlu disiasat bagi mengenal pasti sumber kewangan, menyebabkan mangsa berasa takut dan cemas sehinggalah mula melakukan transaksi kepada suspek,” tambah Yahaya.

Sehubungan itu Polis Kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak Polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.

Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *