Malaysia lonjak ke tangga 54 CPI dunia bukti kerajaan MADANI perangi rasuah – PMX

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
11 FEB 2026

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia melonjak ke tangga 54 membuktikan usaha Kerajaan MADANI memerangi rasuah yang sistemik serta membetulkan kelemahan struktur tadbir urus negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peningkatan ini antaranya didorong oleh tindakan penguatkuasaan tegas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Jelas beliau ia termasuk kejayaan memulihkan lebih RM15.5 bilion hasil negara melalui rampasan aset, dana dan pembanterasan sindiket rasuah serta ketirisan yang telah lama menjejaskan kewangan awam.

INTEGRITI INSTITUSI STRATEGIK

“Kerajaan MADANI juga tidak berkompromi apabila integriti institusi strategik dipersoalkan,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

Beliau berkata tindakan tegas terhadap salah laku dan penyelewengan dalam sektor pertahanan, di samping pembongkaran kartel serta rasuah berprofil tinggi, menegaskan prinsip bahawa tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang.

Beliau berkata pencapaian ini juga adalah peringatan untuk kita menggandakan usaha memerangi rasuah secara konsisten dan berani, demi memulihkan keyakinan rakyat serta memastikan amanah negara terus dipertahankan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *