



Wartawan JM
11 FEB. 2026
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menzahirkan penghargaan terhadap kecemerlangan akademik yang berpaksikan nilai dan jiwa menerusi Majlis Syarahan Pelantikan Profesor melibatkan Prof. Dr. Ridzwan Che Rus dari Fakulti Teknikal dan Vokasional serta Prof. Ts. Dr. Nor Kalsum Mohd Isa dari Fakulti Sains Kemanusiaan, semalam.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata pencapaian bergelar Profesor bukan sekadar lambang kecemerlangan akademik, sebaliknya satu amanah dan ujian yang menuntut keutuhan jiwa serta kesetiaan terhadap organisasi.
“Apalah erti kecemerlangan tanpa jiwa yang utuh, tanpa jiwa yang kukuh, tanpa jiwa yang sayangkan organisasi. Hari ini, dua orang insan ini berjaya menempuh satu fasa penting dalam perjalanan seorang akademia hasil usaha, doa keluarga, sahabat serta rahmah dan barakah Allah SWT,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di Dewan Konvensyen, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.
Beliau turut mengingatkan bahawa gelaran Profesor perlu disertai dengan sifat tawaduk serta kesedaran terhadap permulaan perjalanan seorang akademia.
ADALAH SATU DUGAAN
“Gelaran Profesor ini adalah satu dugaan, satu cubaan dan satu ibrah. Jangan kita lupa di mana kita bermula, siapa sahabat yang ada ketika susah dan senang, dan fahamilah bahawa gelaran ini adalah satu jariah serta ibadah untuk membantu insan-insan lain.
Md Amin turut menasihatkan kedua-dua profesor yang dilantik agar kekal dengan jati diri dan tidak berubah selepas menerima pengiktirafan tertinggi akademik itu.
“Ingat, jangan selepas dapat gelaran Profesor ini mula berubah menjadi insan yang lain. Pesanan ini bukan untuk mereka sahaja, tetapi juga untuk diri saya sendiri agar sentiasa ingat di mana kita bermula.
MERUPAKAN SATU AMANAH
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa anugerah berkenaan merupakan satu amanah daripada Allah SWT yang perlu ditunaikan dengan sebaiknya, bukan sahaja dalam bidang kepakaran masing-masing, malah merentasi disiplin ilmu lain.
Beliau turut menekankan konsep Profesor sebagai ‘Polymath’, iaitu sarjana yang tidak jumud dalam satu bidang, sebaliknya berupaya mengaitkan kepakaran dengan pelbagai disiplin demi manfaat masyarakat.
“Profesor yang sebenar ialah Polymath. Bukan hanya pakar dalam bidang teknikal dan vokasional atau sains kemanusiaan semata-mata, tetapi mampu mengaitkan ilmu dengan etika, ekonomi, pembangunan manusia dan alam sekitar.
PELBAGAI CABANG ILMU
Menurut beliau, tokoh ilmuwan terdahulu seperti Za’ba, Ungku Aziz, Al-Ghazali dan Ibnu Sina merupakan contoh Polymath yang menguasai pelbagai cabang ilmu dan menyumbang secara menyeluruh kepada tamadun manusia.
“Semoga majlis syarahan pelantikan seumpama ini mampu melahirkan lebih ramai tokoh akademik yang melihat dunia akademia bukan sekadar sebagai kerjaya atau petunjuk prestasi utama (KPI), tetapi sebagai satu ibadah dan amal jariah,” ujar beliau.
Prof. Dr. Ridzwan Che Rus kini memegang jawatan sebagai Pengarah Akademik dan Antarabangsa, malah sebelum itu pernah menjawat Dekan Fakulti Teknikal dan Vokasional manakala Prof. Ts. Dr. Nor Kalsum Mohd Isa adalah Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan. – JM
