
11 Feb 2026
Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terus komited memastikan setiap urusan pendaftaran perkahwinan direkodkan secara telus, sah dan sistematik di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.
YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri menegaskan bahawa setiap rekod yang diselenggara JPN bukan sekadar angka, tetapi melambangkan kepercayaan rakyat terhadap sistem perkhidmatan kerajaan.
💬KENYATAAN YB MENTERI DALAM NEGERI
“Rekod pendaftaran yang telus dan teratur membolehkan kerajaan merancang dasar dengan lebih tepat, sekali gus memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan,” ujar beliau dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
- YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri
Berdasarkan rekod rasmi, sebanyak 55,458 perkahwinan membabitkan rakyat Malaysia bukan Islam dengan pasangan warganegara asing direkodkan bagi tempoh 2019 hingga Julai 2025. Lima negara tertinggi seperti berikut:
— China, Vietnam, Singapura, Thailand dan Indonesia, menyumbang 36,066 daripada jumlah keseluruhan tersebut.
MELINDUNGI HAK RAKYAT
Statistik ini mencerminkan realiti mobiliti global serta kepentingan sistem pendaftaran negara yang cekap, tepat dan berintegriti demi melindungi hak rakyat serta memastikan tadbir urus identiti nasional kekal kukuh.
KDN akan terus memperkukuh sistem pendaftaran negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI bagi memastikan setiap rakyat mendapat perkhidmatan yang efisien, selamat dan berintegriti.
