
11 Feb 2026
Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) terus memperkukuh pendekatan kolaborasi strategik dalam memastikan keselamatan rantaian bekalan negara terpelihara.
💬KENYATAAN YB MENTERI DALAM NEGERI
“Pendekatan Smart Enforcement yang dilaksanakan KDN memberi fokus kepada penggunaan risikan, teknologi dan tindakan bersepadu bagi memastikan keselamatan sempadan negara sentiasa terpelihara serta melindungi kepentingan rakyat.”
-YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri.
Bertindak hasil maklumat risikan, AKPS berjaya menggagalkan cubaan menyeludup hampir 99,900 kilogram beras bernilai hampir RM639,400 di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam. Modus operandi sindiket yang cuba menyembunyikan beras tanpa pengisytiharan di dalam treler kontena berjaya dikesan melalui pemeriksaan strategik dan pemantauan bersepadu di pintu masuk negara.
Selain rampasan beras, dua motolori kontena turut disita bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).
Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan KDN dalam memperkasakan kawalan sempadan secara proaktif, berteknologi dan berfokuskan rakyat — selaras dengan prinsip Smart Enforcement demi menjamin kestabilan bekalan makanan negara serta kesejahteraan masyarakat.
Sumber: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia – AKPS
