Beza pandangan dalam negara majmuk lumrah tapi bukan alasan bertindak luar batas – PMX

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
12 FEB 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perbezaan pandangan dalam negara majmuk adalah lumrah, namun ia tidak boleh menjadi alasan untuk mana-mana pihak bertindak di luar batas undang-undang.

Beliau berkata tindakan yang mengganggu-gugat kestabilan negara tidak akan sama sekali ditoleransi.

“Negara ini berdiri kukuh atas semangat setia kawan dan persahabatan yang disemai dalam kalangan seluruh rakyat, merentasi kepelbagaian kaum, agama, budaya serta adat istiadat setiap negeri,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

SAMBUTAN TAHUN BAHARU

Terdahulu Anwar menyampaikan ucaptama di Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina ACCCIM 2026 di Hotel Sunway Resort , Kuala Lumpur, malam tadi.

Anwar juga menegaskan bahawa soal keharmonian dan perpaduan tidak boleh sama sekali dipandang remeh.

“Malah sebarang isu yang menyentuh sensitiviti masyarakat wajib ditangani dengan segera dan tidak boleh dibiarkan berlarutan sehingga mencetuskan ketegangan,” kata beliau.

Beliau juga berpesan bahawa kestabilan, keamanan dan perpaduan adalah tunjang kekuatan Malaysia, dan menjadi tanggungjawab bersama untuk mempertahankannya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *