UMAM pikul amanah penting memartabatkan fahaman Islam di Perlis – Raja Muda

Oleh: Sholina Osman
12 FEB. 2026

Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) memikul amanah penting dalam konteks Negeri Perlis untuk sama-sama memartabatkan fahaman Islam yang bersandarkan dalil sahih, pemikiran rasional dan pendekatan selari tuntutan zaman.

UMAM yang beroperasi di Perlis iaitu satu-satunya kampus milik penuh Universitas Muhammadiyah di luar negara Indonesia juga perlu terus memperkukuh tadbir urus, meningkatkan mutu akademik, menyediakan persekitaran pembelajaran kondusif, serta memperluas jaringan kerjasama antarabangsa agar masa depannya kekal cerah.

Semoga hubungan antara Malaysia dan Indonesia juga terus diperteguh melalui jaringan pendidikan dan dakwah yang diasaskan oleh Muhammadiyah dan diteruskan oleh UMAM di bumi Perlis, demi manfaat bersama umat.

MENGETUAI PROGRAM MAIPs

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Chuping baru-baru ini.

Mengiringi baginda ialah Naib Canselor UMAM, Dr. H. Saidul Amin, M.A. dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Turut serta ialah beberapa wakil kepimpinan ‘Pramuka’ yang merupakan singkatan daripada Gerakan Praja Muda Karana’ dengan istilah bermaksud “Jiwa Muda yang Suka Berkarya” atau di Malaysia dikenali sebagai Pengakap dari Muhammadiyah Indonesia.

DISERTAI KETUA-KETUA

Kayuhan amal yang diterajui oleh MAIPs itu turut disertai ketua-ketua jabatan Negeri dan Persekutuan, wakil sektor swasta, serta NGO.

Program seumpama ini secara tidak langsung memudahkan pelbagai isu rakyat, termasuk berkaitan infrastruktur dan kesihatan, dikenal pasti serta ditangani dengan lebih pantas melalui penyelarasan secara langsung di lapangan.

Sempena kayuhan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga orang asnaf terpilih, iaitu Zainab Nayan, 79, dari Kampung Kok Klang; Rokian Omar, 69 ; serta Othman Abdullah, 74, masing-masing dari Felda Chuping.

PUSAT AKTIVITI BERKUDA

Tuanku Raja Muda seterusnya berkenan mengadakan lawatan ke Shah Stable, sebuah pusat aktiviti berkuda beroperasi di Felda Chuping, yang menawarkan pengalaman berkuda dalam suasana kampung yang tenang dan menghijau sebagai tanda sokongan kepada kempen promosi Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2026.

Destinasi yang diusahakan oleh Shahidi Shahidan ini sesuai untuk pelbagai peringkat umur, sama ada bagi pengunjung yang ingin mencuba pengalaman menunggang kuda buat pertama kali, mengikuti kelas asas berkuda, mahupun sekadar berinteraksi serta bergambar bersama kuda.

Selain aktiviti berkuda, Shah Stable turut menjadi pilihan bagi aktiviti santai bersama keluarga, sesi fotografi serta rekreasi berkonsepkan alam semula jadi, sekali gus menjadikannya antara tarikan pelancongan di Negeri Perlis. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *