


.
๐๐จ๐๐ก๐ง๐๐ก, ๐ญ๐ฎ ๐๐ฒ๐ฏ๐ฟ๐๐ฎ๐ฟ๐ถ โ Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang berjaya menyekat dan menahan dua buah kapal serta merampas lebih kurang 1.572 tan dadah disyaki jenis syabu (Methamphetamine) dalam satu Operasi Khas yang dijalankan di perairan Pahang, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab berkata, tangkapan tersebut dilaksanakan oleh aset Maritim Negeri Pahang yang sedang melakukan rondaan.
Menurut beliau, kapal pertama iaitu sebuah kapal tangki sepanjang 50.34 meter yang dikenali sebagai KAMAL BANGKOK didaftarkan di Thailand bersama 10 orang kru warga Thailand dan tiga orang kru warga Indonesia, kesemuanya berusia lingkungan 33 hingga 68 tahun telah ditahan sekitar 107 batu nautika Timur Laut Kuantan lebih kurang pukul 10.47 pagi pada 11 Februari 2026.
Hasil pemeriksaan lanjut menemukan, sebanyak 76 guni mengandungi bahan
disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 1.572 tan dan turut dirampas ialah 50 ribu liter minyak diesel.
Manakala kapal kedua, sebuah kapal kargo dengan panjang 39.8 meter yang dikenali sebagai SAIL FISH 09 didaftarkan di Indonesia bersama lima orang kru, kesemuanya warga Indonesia berusia lingkungan 33 hingga 71 tahun, turut ditahan di lokasi yang sama lebih kurang pukul 10.50 pagi.
Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM83.75 juta yang melibatkan dadah disyaki jenis syabu, minyak diesel dan dua buah kapal.
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Imigresen 1958.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit
kesalahan, pesalah boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 15 kali sebatan.
18 kru termasuk dua orang nakhoda telah ditahan reman untuk tempoh tujuh hari mulai 13 Februari hingga 19 Februari 2026 manakala kapal dan barang kes seterusnya dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Negeri Pahang bagi tindakan lanjut.
Tangkapan dan rampasan ini merupakan yang terbesar pernah direkodkan oleh Maritim Negeri Pahang sejak penubuhannya, sekali gus mencatat sejarah baharu dalam usaha membanteras penyeludupan dadah di perairan negeri ini.
Menjelang ketibaan bulan Ramadan, Maritim Malaysia akan meningkatkan lagi operasi penguatkuasaan, risikan dan kawalan keselamatan secara menyeluruh bagi membanteras sebarang bentuk jenayah rentas sempadan di perairan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.
.
