7,363 PERANTI ROKOK ELEKTRONIK,203.823 LITER CECAIR DIRAMPAS DI SARAWAK

KUCHING, 12 Feb – Sebanyak 7,363 unit peranti rokok elektronik dan 203.823 liter cecair bernilai kira-kira RM1.32 juta, telah dirampas dalam Op Bersepadu E-Cigarette Mega di Sarawak pada 10 Februari 2026.

Menurut kenyataan media hari ini, operasi dijalankan Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am bersama Kementerian Kesihatan Malaysia, KKM, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Seramai 20 penjaga premis di beberapa daerah telah diperiksa.

Selain peranti dan cecair, pelbagai jenis rokok bernilai RM7,017.30 turut dirampas.

Semua rampasan diserahkan kepada KKM untuk tindakan lanjut.

KKM turut mengeluarkan 20 notis di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.

PBT dan LHDN juga mengambil tindakan di bawah penguatkuasaan mengikut bidang kuasa masing-masing.

Komander Briged Sarawak PGA, SAC Lim Bak Phai, menegaskan PGA dan KKM akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan di Sarawak serta memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak supaya tidak terlibat dalam penjualan atau pengedaran rokok elektronik secara tidak sah.

Kerjasama strategik antara PGA dan agensi penguat kuasa berkaitan bertujuan memastikan pematuhan terhadap peraturan kawalan produk merokok, melindungi kesihatan awam serta mengekang aktiviti penjualan tanpa lesen dan pengisytiharan cukai yang sah.

ROSE/PR

beritartmsarawak

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *