


12 FEB 2026
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melalui Bahagian Perisikan dan Operasi Khas telah menjalankan satu Operasi Khas di dua lokasi di sekitar Sentul, Kuala Lumpur pada 12 Februari 2026 bermula pada jam 6.00 pagi.
Berdasarkan maklumat awam dan risikan selama sebulan, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan menahan seorang lelaki warganegara Bangladesh berumur 27 tahun. Semakan awal mendapati, warganegara Bangladesh tersebut memiliki Pas Pelajar yang masih sah laku.
Pasukan operasi telah menyita 22 naskhah pasport Bangladesh yang disyaki palsu, kad akses, satu set komputer, mesin pencetak, mesin pemotong, mesin engrave laser dan mesin pemotong curve. Turut disita sebuah motosikal jenis Benelli Leoncino dipercayai digunakan dalam kegiatan ini.
Modus operandi sindiket ini adalah dengan menawarkan perkhidmatan kepada warganegara Bangladesh yang berada di sekitar Lembah Klang dan ingin menjalani saringan pemeriksaan kesihatan pekerja asing (FOMEMA), namun didapati tidak melepasi pemeriksaan atau berstatus tidak layak (unfit). Pasport yang dipalsukan akan dipinda atau diubah suai mengikut keperluan bagi membolehkan ia digunakan semasa proses saringan kesihatan.
Bagi mengelakkan dikesan, khidmat βrunnerβ akan digunakan untuk menghantar pasport palsu yang telah siap kepada pelanggan dengan pembayaran secara dalam talian. Berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai telah menghasilkan antara 200 hingga 300 naskhah pasport palsu dalam tempoh sebulan dan menjalankan kegiatan tersebut selama kira-kira enam bulan.
Lelaki warganegara Bangladesh itu ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Sek.56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut. Manakala seorang lelaki warganegara Malaysia telah diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
Jabatan akan meneruskan tindakan tegas bagi membanteras apa jua aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini agar kestabilan dan kemakmuran negara sentiasa terpelihara selaras dengan hasrat kerajaan MADANI.
