






Oleh: Sholina Osman
16 FEB. 2026
Mampukah kanak-kanak dari Generasi Z (Gen Z) bermain dengan selut (lumpur) yang lagi hitam dan berbau busuk hanya untuk menangkap ikan air tawar.
Selama ini di tangan masing-masing “berkepit” dengan telefon bimbit, mengadap komputer dan bermain “game” pun menggunakan alat peranti ini.
Atas alasan itu maka Ketua Wanita Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Wang Besar Mahsuri Mahmood menganjurkan Program Timba Telaga/Tangkap Ikan khusus untuk kanak-kanak Gen Z kawasan ini sama ada sanggupkah mereka masuk ke kolam dipenuhi selut seperti mana kehidupan yang dijalani oleh kanak-kanak di zaman dahulu.
MERASAI PENGALAMAN INI
“Saya mahukan kanak-kanak ini merasai pengalaman ini yang sudah pastinya bernain selut semakin asing bagi mereka yang hidup di zaman digital,” kata beliau.
Jelas Mahsuri di dalam selut ini kanak-kanak akan cuba menangkap pelbagai jenis ikan air tawar seperti puyu, sepat, selat, haruan, talapia dan juga keli tanpa menggunakan sebarang alat bantuan.
“Kita tidak memberikan tempoh masa yang khusus, kerana ini memberikan peluang kepada kanak-kanak merasai pengalaman ini sebagai kenangan manis apabila suatu hari nanti akan merantau ke kota besar,” kata Mahsuri.
Mahsuri cuma menyediakan sebuah kolam di kawasan rumahnya sebagai tempat pertandingan.
PELBAGAI JENIS IKAN
“Sebelum itu kolam ini memang saya jadikan untuk pemeliharaan pelbagai jenis ikan air tawar di mana ia dikeringkan untuk pertandingan ini dengan menggunakan kaedah lama juga iaitu “menimba”,” kata Mahsuri tugas ini dilakukan bersama dengan Jawatankuasa KRT dengan bantuan penduduk setempat.
Jelas Mahsuri sambil diadakan aktiviti ini, juga diadakan sarapan dan makan tengah hari secara “pot luck” di kalangan penduduk setempat yang hadir.
Dalam tinjauan semasa pertandingan ini diadakan, wartawan Jendela Madani mendapati para peserta pertandingan dilihat boleh menyesuaikan diri untuk masuk ke dalam selut bagi menangkap ikan.
BERSEMANGAT MENCARI IKAN
Antara mereka tetap bersemangat mencari ikan sekalipun hampir keseluruhan badan diliputi dengan selut.
Lebih menarik ada juga kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun yang tidak mahu kalah dengan peserta yang kebanyakannya lelaki.
Gadis kecil ini terus mengharungi kolam bagi menangkap ikan tanpa mempedulikan bukan sahaja badan, malah rambutnya yang panjang itu dipenuhi selut.
Tamat pertandingan, setelah semua berat ikan peserta ditimbang, keputusan juara menjadi milik Dany Ikhwan Azman 16, pelajar Tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, Kangar.
HASIL TANGKAPAN IKAN
Timbangan dari hasil tangkapan ikan oleh Dany Ikhwan iaitu haruan, talapia, sepat, selat, puyu adalah seberat 3.95 kilogram.
Apa rahsia kemenangan ini, ternyata Gen Z ini sebenarnya pernah ada pengalaman masuk ke dalam selut bagi menangkap ikan.
“Setiap kali musim membajak sawah padi, saya akan mengikut jentera trekta dari belakang untuk mengutip pelbagai jenis ikan yang keluar dari selut,” katanya.
Bagaimanapun menangkap ikan dari kolam adalah pengalaman pertama yang disifatkan Dany Ikhwan agak sukar kerana berada dalam selut yang pekat sehingga separas peha dan ikan pula suka menyelinap masuk ke dalam selut.
Sekalipun dari Generasi Z, Dany Ikhwan dan peserta lain antara kanak-kanak dari Kampung Wang Besar dilihat masih lagi “cekap” bermain selut bagi mendapatkan hasil ikan air tawar yang bukan saja enak dijadikan sebagai hidangan malah boleh menjadi pendapatan sampingan. – JM
