






Oleh: Sholina Osman
16 FEB. 2026
Majlis Belia Malaysia (MBM) komited untuk terus memperkasa kefahaman generasi muda mengenai kepentingan Institusi Beraja dalam pembinaan serta kelangsungan negara.
Selaku badan induk pertubuhan belia yang mewakili suara anak muda di Malaysia, MBM melihat usaha ini sebagai tanggungjawab besar dalam memastikan belia memahami asas kenegaraan yang menjadi teras kestabilan negara.
Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi, dalam ucapannya menegaskan bahawa Institusi Beraja sebagai Tiang Seri Negara wajib dipelihara, dijunjung dan dihormati sepanjang masa.
MENJADI AMANAH MBM
Menurut beliau, menjadi amanah MBM untuk memastikan golongan belia selaku pewaris kepimpinan masa hadapan diberikan kesedaran yang mendalam tentang sejarah, peranan dan tanggungjawab Institusi Beraja, termasuk sumbangannya yang signifikan dalam pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.
“Sebagai pewaris kepimpinan masa hadapan, belia perlu memahami sejarah, peranan serta amanah yang dipikul oleh Institusi Beraja dalam menjamin kestabilan, perpaduan dan kesejahteraan negara,” ujar beliau.
Maklumat tersebut telah dipersembahkan oleh Presiden MBM kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di akhir Program Kayuhan Berbasikal anjuran MBM yang berlangsung dalam suasana bersemangat di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
MENDAPAT KERJASAMA
Program ini mendapat kerjasama strategik pelbagai agensi termasuk Pusat Belia Antarabangsa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan TTG KL.
Presiden MBM menyifatkan keberangkatan dan sokongan berterusan Institusi Beraja terhadap program belia sebagai simbol keprihatinan serta dukungan berterusan terhadap pembangunan generasi muda negara.
“Sesungguhnya, hubungan erat antara Institusi Beraja dan belia akan terus menjadi asas penting dalam membina Malaysia yang berdaulat, progresif dan bersatu padu,” tambah beliau. – JM
