




Oleh: Sholina Osman
16 FEB. 2026
Program Jelajah Ramadan telah mencatat sejarah apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Terpanjang di Malaysia menerusi pelaksanaan 38 aktiviti di seluruh negara.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Program Jelajah Ramadan yang merupakan antara program utama Bahagian Program Radio RTM yang telah dilaksanakan secara konsisten sejak tahun 2012.
“Pengiktirafan ini bukan sekadar satu pencapaian, malah membuktikan bahawa RTM berperanan lebih daripada sekadar penyampai berita dan hiburan,” kata beliau semasa berucap sempena Pelancaran Jelajah Ramadan RTM 2026 di Pasar Tani Kekal Datin Halimah, Larkin, Johor Bahru.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia Datuk Suhaimi Sulaiman.
15 BUAH KENDERAAN
Beliau berkata bagi edisi ke-14 ini, Jelajah Ramadan 2026 melibatkan 15 buah kenderaan serta 40 orang kru, termasuk juruhebah dan selebriti
jemputan.
“Program ini akan menjelajah ke 30 lokasi terpilih di seluruh negara selama 20 hari, bermula 16 Februari hingga 8 Mac 2026, merangkumi Zon Utara, Selatan, Tengah, Timur, Sabah dan Sarawak,” kata Fahmi.
Fahmi berkata Radio mempunyai keistimewaan tersendiri.
Jelas beliau dalam dunia yang
semakin digital dan pantas berubah, radio kekal relevan sebagai medium yang dekat di hati masyarakat.
RADIO SEBAGAI TEMAN
“Suara juruhebahnya menemani pemandu di jalan raya, peniaga di pasar, nelayan di lautan serta petani di sawah, menjadikan radio sebagai teman setia dalam rutin harian,” kata beliau.
Beliau menambah melalui kehadirannya yang merentas ruang dan waktu, radio menyatukan komuniti tanpa mengira latar belakang bangsa, agama dan usia.
“Saya percaya, dengan kekuatan 34 stesen radio RTM, suara yang
disampaikan bukan sekadar gelombang frekuensi, tetapi
gelombang keinsanan dan perpaduan,” kata beliau. – JM
