LAWATAN TAPAK PROJEK PEMBINAAN PEJABAT DAN PUSAT LATIHAN UTK PDRM

SEMENYIH, 16 Februari 2026 โ€“ YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Bin Ismail, Menteri Dalam Negeri mengadakan lawatan ke tapak Projek Pembinaan Pejabat dan Pusat Latihan Unit Tindakhas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Semenyih hari ini.

Lawatan ini diadakan bagi meninjau kemajuan projek yang dibina di Kem Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, yang kini telah mencapai kemajuan fizikal kira-kira 90 peratus siap.

Projek yang dimulakan pada 6 Januari 2021 itu telah melalui beberapa lanjutan masa (EOT) berikutan faktor luar jangka termasuk pandemik COVID-19 dan dijangka siap 16 Julai 2026.

Projek ini turut dirancang sebagai pusat latihan bersepadu berteknologi tinggi bagi memperkukuh keupayaan operasi dan kesiapsiagaan UTK dalam menangani ancaman keselamatan negara.

Kemudahan yang dibangunkan merangkumi bangunan pentadbiran utama, ruang latihan taktikal, kawasan latihan tempur, kemudahan logistik serta lapang sasar menembak dalaman 100 meter yang kini dalam pelaksanaan.

Selain itu, projek ini turut melibatkan pembinaan kemudahan sokongan, infrastruktur jalan termasuk persimpangan alternatif serta kemudahan latihan simulasi khas bagi meningkatkan kompetensi anggota.

Turut hadir YBhg. IG Dato’ Sri Haji Mohd Khalid bin Haji Ismail, Ketua Polis Negara, YBhg. Tuan Fakhrul Razi bin Ab Wahad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN, dan YBhg. DIG Tan Sri Ayob Khan bin Mydin Pitchay, Timbalan Ketua Polis Negara.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *