
KUCHING, 19 FEB – Hubungan baik kerajaan Persekutuan dan Sarawak disifatkan menjadi pemangkin utama kepada kemajuan pesat negeri ini.
Pengerusi Persatuan Penggerak Kemajuan Kota Padawan Albert Lee Joo Hee berkata ini dapat dilihat menerusi kestabilan politik serta kerjasama erat bagi pelaksanaan dasar pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Dalam lima tahun ini, kita dapat lihat pembangunan besar dilaksanakan di Sarawak. Ia bukan sahaja menarik perhatian rakyat di Semenanjung, malah menjadikan Sarawak antara negeri yang berkembang pesat di Malaysia,” katanya.
Beliau yang juga Pembantu Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kitang Dato Lo Khere Chiang menambah, hala tuju pembangunan Sarawak kini memberi tumpuan kepada ekonomi hijau dan inovasi termasuk pembangunan tenaga boleh baharu selain pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar.
Beliau berkata demikian ketika ditemui RTM pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di kediamannya di sini , hari ini.
Beliau turut menyatakan bahawa penubuhan syarikat penerbangan milik negeri dijangka merancakkan lagi sektor pelancongan serta meningkatkan kesalinghubungan Sarawak dengan destinasi luar.
Beliau optimis dengan kesinambungan kerjasama kukuh antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, negeri ini mampu mencapai tahap pembangunan lebih tinggi sekaligus memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
DEBBIE AMANDA
