


Wartawan JM
22 FEB. 2026
Seorang lelaki berusia 30-an di Miri, Sarawak terpaksa berputih mata apabila ditipu sebanyak RM233,950 dalam pelaburan saham dalam talian tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Miri Asistan Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata lelaki berkenaan tampil membuat laporan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri pada 21 Februari 2026.
“Mangsa menceritakan bagaimana dia telah terjebak dengan pelaburan saham dalam talian ini selepas melayari satu laman sesawang,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.
UNTUK MEMBUKA AKAUN
Beliau berkata mangsa kemudiannya diminta untuk membuka akaun dalam sesawang berkenaan bagi urusan pelaburan saham.
“Mangsa tertarik dengan tawaran keuntungan yang dipaparkan dalam kumpulan WhatsApp apabila ahli kumpulan menunjukkan keuntungan,” kata Mohd Farhan.
Beliau berkata mangsa pada awalnya melabur RM100 dan menerima pulangan sebanyak RM700 yang kemudiannya telah dimasukkan ke dalam akaun sebelum membuat pelaburan tambahan dalam jumlah lebih besar kerana dijanjikan keuntungan berganda.
PELABURAN SAHAM TAMBAHAN
Seterusnya mangsa telah membuat pelaburan saham tambahan dalam jumlah yang lebih besar kerana dijanjikan pulangan keuntungan berganda.
Pengadu telah membuat bayaran sebanyak 27 kali transaksi bayaran kepada 21 jenis akaun yang berlainan.
Mangsa hanya menyedari ini adalah penipuan dalam talian oleh “scammer” apabila pihak berkenaan berterusan meminta beliau membuat bayaran sedangkan keuntungan yang dijanjikan masih belum diperoleh.
Mohd Farhan berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada, tidak mudah mempercayai tawaran pelaburan dan membuat semakan di laman sesawang Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia selain menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan menerusi talian 997 jika menjadi mangsa penipuan. – JM
