





Wartawan JM
23 FEB. 2026
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memperuntukkan RM5 juta melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menyediakan ekosistem hala tuju kerjaya yang
lengkap secara fizikal dan dalam talian, demi merungkai isu kadar guna tenaga tidak penuh di Malaysia.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, berkata MYFutureJobs Career Exploration Centre (MYCEC) seliaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) adalah pemangkin perubahan yang bakal menjadi penghubung antara bakat dan industri.
Beliau menyifatkan hab imersif pertama di Malaysia itu sebagai penyelesaian konkrit dalam membela nasib hampir dua juta generasi muda yang terperangkap dalam polemik ketidakpadanan kerja berkaitan kemahiran.
DITAWAR MELALUI MYCEC
βKita tidak mahu perkhidmatan yang ditawarkan melalui MYCEC hanya terhad kepada penggunaan di sekitar
Lembah Klang sahaja kerana hakikatnya isu ketidakpadanan kerja ini berlaku di serata negara.
βJusteru, peruntukan RM5 juta ini akan dimanfaatkan untuk kita perluaskan capaian MYCEC secara dalam talian dan fizikal di institut pengajian tinggi (IPT) kerana menara gading adalah antara βtitik awalβ yang memerlukan instrumen pendedahan mengenai pasaran buruh semasa.
βSebagai permulaan, kita akan laksanakan di enam menara gading sebagai lokasi perintis, sebelum
diperluaskan secara berperingkat ke IPT awam dan swasta di seluruh negara,β katanya ketika berucap
merasmikan MYCEC di KL Sentral, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal.
MoU ANTARA PERKESO
Pada majlis sama juga berlangsung pemeteraian Memorandum Persefaham (MoU) antara PERKESO dan RHB Bank Berhad ke arah memperluas akses MYFutureJobs, meliputi 618,000 pengguna aktif Kad Debit-i MySiswa RHB.
Mengulas lanjut, Ramanan menaruh keyakinan bahawa menerusi kekuatan pangkalan data mengenai pasaran buruh semasa di Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang dipaparkan melalui platform interaktif realiti maya MYFutureJobs, ia bakal menjadi pelengkap dasar di kementerian lain.
βHal ini kerana, melalui akses kepada program interaktif realiti maya MYFutureJobs ini, siswa bukan sahaja
mendapat pendedahan awal kepada dunia pekerjaan, sebaliknya turut berpeluang menjalani simulasi peranan sebenar pekerjaan, penilaian kemahiran secara praktikal dan dipadankan dengan kerjaya mengikut keupayaan mereka.
βInilah bukti bahawa inovasi dimanfaatkan secara strategik untuk menyelesaikan cabaran sebenar rakyat dan memperkukuh masa depan tenaga kerja negara,β katanya. – JM
