BUBUR LAMBUK ISTANA JOHOR UNTUK RAKYAT SEJAK 2020 DITERUSKAN LAGI TAHUN INI

23 Feb 2026

Tradisi pengagihan bubur lambuk kurniaan Istana Johor diteruskan sebagai inisiatif tahunan bagi menyantuni rakyat di setiap daerah di negeri ini menjelang ketibaan Ramadan.

Inisiatif murni yang dimulakan sejak tahun 2020 oleh KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, kini menjadi antara acara yang paling dinanti-nantikan oleh segenap lapisan masyarakat.

Bagi memastikan kelancaran proses penyediaan, operasi di dapur Istana Pasir Pelangi bermula seawal jam 7 pagi tadi.

Seramai lebih 50 orang kakitangan Istana Johor terlibat bagi mengendalikan persiapan bahan mentah serta proses pembungkusan secara teliti.

Penyelia Istana Johor, PW 1 (B) Faizol Abdullah, berkata komitmen petugas yang terlibat adalah bagi memastikan kualiti kurniaan sentiasa berada pada tahap terbaik sebelum diagihkan kepada rakyat.

“Pengagihan bubur lambuk Istana Johor kini diibaratkan sebagai satu tradisi yang amat bermakna. Seawal pagi lagi, para petugas memulakan persiapan rapi bagi memenuhi sasaran agihan yang telah ditetapkan,” kata beliau kepada Royal Press Office (RPO).

Untuk siri agihan hari ini (23 Februari), sebanyak 1,500 paket bubur lambuk diserahkan kepada Muhammad Azri Abdullah, Penolong Pegawai Daerah Tangkak, di Istana Pasir Pelangi.

Bubur lambuk berkenaan kemudian akan diedarkan kepada golongan asnaf, warga emas dan Orang Kurang Upaya di enam mukim di daerah Tangkak.

YDPAgong

AllahPeliharakanSultan

IstanaNegara

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *