
Oleh: Sholina Osman
24 FEB. 2026
Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bandar Mexico, mengesahkan tiada warganegara Malaysia sejak 23 Februari terkesan akibat insiden gelombang keganasan yang tercetus di beberapa wilayah di negara tersebut.
Kenyataan media Kementerian Luar yang juga dikenali Wisma Putra memaklumkan bahawa pihaknya kini memantau rapat gelombang keganasan yang tercetus di beberapa wilayah di Mexico, termasuk Jalisco, Colima, Michoacan, Nayarit, Guanajuato, dan Tamaulipas, susulan operasi keselamatan baru-baru ini oleh pihak berkuasa tempatan.
Sehubungan itu warganegara Malaysia yang berada di Mexico atau merancang perjalanan ke sana dinasihatkan untuk kekal waspada, mengelakkan kawasan perhimpunan awam, dan mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
MENDAFTAR KEBERADAAN MEREKA
Warganegara Malaysia juga amat digalakkan untuk mendaftar keberadaan mereka menerusi E-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my bagi memudahkan penyaluran maklumat dan bantuan.
Bagi bantuan konsular, warganegara Malaysia boleh menghubungi Kedutaan menerusi saluran berikut:
Kedutaan Besar Malaysia di Bandar Mexico
Tel: +52 55 5282 4656 / +52 55 5282 5166
E-mel: mwmexico@kln.gov.my / mex.receptionist@kln.gov.my
Kementerian Luar Negeri akan terus memantau perkembangan situasi ini secara dekat dan akan menyalurkan maklumat terkini sekiranya perlu. – JM
