
Jangan terpedaya dengan iklan “Kelas Belajar Pelaburan Percuma” di media sosial. Niat untuk menimba ilmu boleh berakhir dengan tragedi kerugian jika anda tidak berwaspada dengan taktik licik sindiket penipuan.
Kisah Benar Sebagai Pengajaran:
Pada 2 Oktober 2025, mangsa seorang lelaki tempatan, kontraktor berusia pertengahan 60-an telah melayari aplikasi Facebook dan berminat dengan satu tawaran belajar pelaburan saham secara percuma. Mangsa telah menekan link yang tertera dan dimasukkan ke dalam satu kumpulan whatsapp.
Setelah beberapa kali sesi kelas pelajaran pelaburan, βguru pelaburanβ di dalam kumpulan whatsapp tersebut telah menawarkan kepada ahli-ahli kumpulan satu peluang pelaburan saham yang terbaharu dengan jaminan keuntungan serta pampasan sekiranya mengalami kerugian.
Mangsa yang tertarik untuk menyertai pelaburan tersebut telah menerima panggilan whatsapp daripada seorang wanita meminta mangsa memuat turun satu aplikasi bagi memulakan pelaburan tersebut.
Pada 27 November 2025 mangsa telah membuat pindahan wang secara berperingkat ke (6) akaun yang berbeza milik syarikat/perniagaan berikut:-
i) SCSS PULSE TRADING
ii) BOOKMAP IF SDN. BHD.
iii) BOOKMAP TG SDN. BHD.
iv) AEP TOP VENTURES
v) MUSI LUXHOME RENOVATION (M) SDN. BHD.
vi) SAC GLOBAL SDN. BHD.
Pada bulan Januari 2026, mangsa berminat untuk membuat pengeluaran sebanyak RM600,000.00 setelah aplikasi pelaburan memaparkan mangsa telah mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda.
Mangsa telah diminta untuk membuat bayaran komisen 10% terlebih dahulu dan selepas membuat bayaran tersebut, mangsa dimaklumkan bahawa wang pengeluaran mangsa telah disekat oleh Bank Negara Malaysia dan perlu pula membayar cukai sebanyak RM168,000.00.
Mangsa berasa curiga dan enggan membuat bayaran lanjut. Mangsa mengesyaki telah ditipu dengan kerugian sebanyak RM1.2 juta telah membuat laporan polis pada 13 Februari 2026. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Tindakan Bijak Untuk Anda:
- Gunakan Portal Semakmule: Sebelum membuat sebarang transaksi, WAJIB menyemak nombor akaun bank atau nama syarikat di portal rasmi semakmule.rmp.gov.my.
- Rujuk Senarai “Top Ten” CCID: Pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) sentiasa mengemaskini senarai syarikat yang paling kerap dilaporkan sebagai pemilik akaun bank penipu. Berdasarkan rekod, banyak syarikat berunsur perniagaan renovasi, pembinaan dan perdagangan dikesan sebagai akaun keldai.
- Jangan Percaya Janji Manis: Pelaburan yang sah tidak akan meminta anda memindahkan wang ke akaun syarikat pihak ketiga atau individu yang tidak dikenali melalui aplikasi sembang.
Satu semakan di Portal Semakmule boleh menyelamatkan wang simpanan seumur hidup anda!
Jika anda telah menjadi mangsa dan baru melakukan transaksi ke akaun bank dikawal scammers, segera hubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997.
