

Oleh: Sholina Osman
25 FEB. 2026
Cubaan dua lelaki warga Thai membawa masuk secara haram enam warga asing sebagai “penumpang” di dalam kereta mereka akhirnya terbongkar.
Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim berkata ia dikesan oleh sepasukan anggota Cawangan Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Padang Besar yang melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan jenis Honda Odyssey bernombor pendaftaran Thailand.
Beliau berkata kereta berkenaan diperiksa di laluan import bas Unit Pemeriksaan Rapi (UPR), Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, Perlis pada pukul 8.20 malam pada 6 Februari 2026.
Beliau berkata kenderaan tersebut dipandu oleh seorang lelaki warganegara Thailand berumur 35 tahun dan ditemani oleh seorang lagi lelaki warganegara Thailand berumur 28 tahun yang berada di tempat duduk penumpang hadapan.
PENUMPANG BELAKANG KENDERAAN
“Turut berada di bahagian penumpang belakang kenderaan tersebut adalah dua orang lelaki dan seorang wanita disyaki warganegara China masing-masing berumur 29, 30 dan 38 tahun serta tiga orang lelaki warganegara Indonesia masing-masing berumur 33, 36 dan 45 tahun,” kata Ismail pada sidang media di Pangkalan Marin Kastam di Kuala Perlis, semalam.
Jelas beliau hasil pemeriksaan lanjut mendapati ketiga-tiga warganegara China tersebut tidak mempunyai pasport atau sebarang dokumen pengenalan diri.
Tambah Ismail manakala ketiga-tiga warganegara Indonesia pula didapati memiliki pasport, namun tiada rekod atau cop kemasukan ke Malaysia.
CUBA MENYELUDUP MASUK
“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki warganegara Thailand tersebut disyaki cuba menyeludup masuk keenam-enam migran berkenaan ke Malaysia,” kata beliau.
Sehubungan itu katanya Perintah Penahanan Reman telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kangar dan kesemua Orang Yang Disyaki (OYDS) ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang &
Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007: Jika sabit kesalahan, membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan juga bolen
didenda atau kedua-duanya sekali.
BAWAH SEKSYEN 6
Bagi migran kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta migresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) Akta yang sama: Denda tidak lebih sepuluh ribu ringgit (RM10,000.00) atau penjara bagi tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, dan sebatan tidak lebih enam sebatan.
Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.
Kerjasama daripada orang ramai amat diharapkan agar kita bersama-sama dapat membanteras kegiatan penyeludupan. – JM
